Proses eKYC daftar akaun media sosial dipastikan dilindungi PDPA - Utusan Malaysia

Proses eKYC daftar akaun media sosial dipastikan dilindungi PDPA

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan pelaksanaan proses pengesahan identiti pengguna (eKYC) semasa mendaftar akaun di semua platform media sosial akan dilindungi menerusi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

Menurut jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, proses tersebut akan dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kita sudah pasti akan melaksanakan selaras dengan undang-undang sedia ada termasuk Akta PDPA yang disebut sebagai transaksi komersial.

“Jadi semua transaksi komersial yang dilakukan oleh entiti termasuk platform media sosial (seperti) syarikat e-wallet dan sebagainya, akta tersebut (akan) terpakai kepada mereka,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Fahmi berkata, Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses eKYC bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun.

Langkah itu adalah bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan benar-benar dikuat kuasa.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi itu berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan mendalam bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa pihak lain bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, berdasarkan pengalaman mereka melaksanakan sistem eKYC bagi penggunaan e-wallet sebelum ini.

“Sebagai contoh, ada beberapa aplikasi seperti TouchNGo dan Grab memerlukan eKYC yang menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, jadi kita akan teliti aspek ini dan umumkan garis masa pelaksanaan,” ujarnya.

Fahmi menjelaskan, pelaksanaan garis masa itu akan dimaklumkan kelak setelah beliau menerima laporan hasil daripada perbincangan dengan pengendali platform di Singapura.

“Saya tegaskan sekali lagi kita akan adakan perbincangan dengan pihak platform media sosial (minggu depan), yang telah diputuskan pada hari ini adalah di peringkat dasar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN