Dalam usaha memperkasa pendidikan inklusif dan memberi sinar harapan kepada murid berkeperluan khas yang tercicir pendidikan, seorang guru daripada kawasan pedalaman Sabah, Sekolah Kebangsaan Bawang K9, Beluran Sabah tampil melaksanakan satu inisiatif bermakna, dinamakan Projek Sinar Ilmu Anak Istimewa.
Projek tersebut pada mulanya hanya memfokuskan murid Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami masalah pertuturan dan motor halus, serta tidak dapat mengikuti pembelajaran secara formal di sekolah. Menyedari cabaran yang dihadapi murid dan keluarganya, guru berkenaan Florenica Frenila Masundim mengambil pendekatan luar biasa dengan membina sudut belajar khas di rumah murid, lengkap dengan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dan mesra OKU.
Bukan itu sahaja, guru tersebut turut mengatur lawatan khas bersama murid-murid lain ke rumah murid OKU berkenaan, sebagai langkah memupuk empati, kefahaman dan penerimaan rakan sebaya terhadap golongan istimewa. Inisiatif ini turut disokong oleh penggunaan teknologi apabila sesi panggilan video pengajaran dijalankan secara berkala semasa pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) berlangsung.
Menurut Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum sekolah berkenaan, Lorenica Frenila Masundim, projek tersebut bukan sahaja memberi akses pendidikan kepada murid yang tercicir, malah berupaya membina keyakinan, motivasi dan semangat untuk terus belajar meskipun berhadapan dengan ketidakupayaan.
“Jika murid tidak dapat hadir ke sekolah, kita bawalah ilmu ke rumah mereka,” jelas beliau.
LORENICA Frenila Masundim (duduk, kiri) bersama murid dan guru Tahun 6 melawat rumah murid berkeperluan khas dengan membawa pelbagai hadiah hasil tangan murid sendiri.Projek tersebut kini dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat sekolah dengan melibatkan semua guru dengan menyasarkan murid bermasalah kehadiran, disiplin dan akademik sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Pejabat Pendidikan Daerah dan komuniti setempat yang terinspirasi untuk memperluaskan pendekatan serupa. Dengan harapan menjadikan usaha ini sebagai pencetus perubahan sistemik, guru berkenaan turut menyasarkan agar projek berkenaan dikembangkan ke seluruh pelosok negara sebagai model pendidikan untuk murid OKU di luar bandar.
Projek Sinar Ilmu Anak Istimewa bukan sekadar usaha seorang guru, tetapi adalah manifestasi kasih sayang, keprihatinan, dan keberanian untuk membawa perubahan demi memastikan tiada anak Malaysia yang tercicir daripada hak pendidikan.
Menurut Lorenica Frenila, pihaknya mendapati program tersebut mendatangkan impak terhadap murid iaitu mereka rasa dihargai dan diterima. Selama ini murid OKU berasa diri mereka penting kerana mendapat perhatian dan kunjungan daripada rakan sebaya. Program tersebut juga meningkatkan keyakinan diri iaitu mereka dapat berinteraksi dengan murid lain membantu mereka lebih berani berkomunikasi dan bergaul.
Murid juga merasai pengalaman sosial baharu iaitu kunjungan memberi peluang untuk membina persahabatan dan merasai pengalaman belajar secara inklusif selain memberi motivasi untuk belajar –
“Murid OKU terdorong untuk lebih bersemangat dalam pembelajaran kerana merasakan sokongan daripada rakan dan masyarakat dan selain ia juga mengurangkan rasa terasing dengan kehadiran pelawat membantu mereka berasa lebih dekat dengan komuniti dan tidak tersisih daripada dunia luar,” ujarnya.
Kata beliau, pada masa akan datang beberapa perancangan sudah diatur untuk dilaksanakan iaitu guru perlu mengikuti kursus bahasa isyarat, mewujudkan sudut pembelajaran Bahasa Isyarat di sekolah agar semua murid boleh berkomunikasi dengan rakan.
OBJEKTIF PROGRAM
» Meningkatkan akses pendidikan kepada murid-murid berkeperluan khas cicir agar mereka mendapat peluang pembelajaran yang setara dengan murid lain.
» Menggalakkan budaya inklusif dan empati dalam kalangan guru dan murid melalui aktiviti sokongan akademik dan sosial.
» Mendekati dan menyantuni murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang masalah agar intervensi lebih berkesan dapat dirangka dan dilaksanakan.
» Menyediakan sokongan berterusan kepada guru dan ibu bapa dalam memahami keperluan serta strategi pembelajaran anak-anak istimewa.
» Mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif dan kondusif di rumah supaya murid berasa diterima, dihargai dan termotivasi untuk belajar.
Guru-guru juga mencari dana untuk mewujudkan sudut pembelajaran interaktif yang menghubungkan rumah murid cicir berkeperluan khas dan PdPc yang sedang berlangsung di sekolah serta membuat perkongsian pengalaman pelaksanaan program kepada warga sekolah dan masyarakat. Ia bertujuan memberi kesedaran tentang sikap kepedulian terhadap golongan anak Istimewa yang tercicir daripada arus pendidikan.
“Saya mengalu-alukan pihak yang ingin bekerjasama dari segi perkongsian idea atau dana untuk menyokong perkembangan pembelajaran murid yang ingin bekerjasama dari segi perkongsian idea atau dana untuk menyokong perkembangan pembelajaran murid, “ ujar beliau. – UTUSAN