TAIPING: Projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah di Bagan Serai bagi menangani isu kekurangan bekalan air, terutama semasa musim kemarau di utara Perak akan dilaksanakan tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kelulusan projek tersebut kini sudah di peringkat Kabinet.
“Bagi projek pemindahan air dari Sungai Perak, ia akan dilaksanakan tahun depan.
“Kelulusan di peringkat Kabinet sudah dapat, sekarang Kementerian Kewangan sedang memuktamadkan kaedahnya sebab ia ada melibatkan dana daripada luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan di Sungai Batu Tegoh, Padang Merbok di sini hari ini.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang sebahagiannya bagi menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan membekal air terawat ke Pulau Pinang berada pada peringkat akhir.
Anwar berkata, kerajaan bersetuju memperuntukkan anggaran RM4 bilion.
Projek berkenaan dijangka meningkatkan keupayaan penyaluran air bagi tujuan industri dan pertanian ke kawasan Kerian dan sekitarnya serta beberapa kawasan di Pulau Pinang.
Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, semalam beliau melawat beberapa kawasan yang dilanda banjir di Taiping termasuk mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Simpang di sini.
Menurutnya, beliau telah mendapatkan maklumat mengenai kejadian tersebut daripada pemimpin tempatan dan beberapa perkara perlu dilihat yang menjadi punca banjir di kawasan terlibat.
“Ada beberapa perkara yang kita kena lihat, salah satunya pembesaran aliran sungai itu sendiri dengan mendalamkan aliran sungai sebab berlaku mendapan di muara sungai.
“Perkara ini yang kita kena lihat dan sebenarnya ia sedang dilaksanakan dan sentiasa dipantau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Hari ini baru dapat laporan penuh apa sebenarnyua punca banjir semalam tapi sudah pasti hujan lebat berterusan salah satu punca.
“Tapi kenapa setengah tempat yang belum pernah banjir termasuk Balai Polis Simpang yang belum pernah tenggelam tiba-tiba semalam saya pergi melihat sendiri dimasuki air. Jadi itu yang kita nak lihat di mana puncanya,” katanya. – UTUSAN