MASYARAKAT minoriti Orang Asli etnik Bateq yang menghuni di hutan tropika Taman Negara dan pesisir Sungai Tembeling, Jerantut masih lagi memegang nilai budaya orang-orang tua sejak dahulu walaupun mereka berada dalam arus pembangunan moden apatah lagi kerap kali diasosiasikan pengalaman bersama pelancong dari negara Barat.
Aktiviti harian mereka diasimilasi dengan ‘survival’ di hutan hujan tropika untuk mencari sumber makanan dan komersial antara denyutan kehidupan namun masih berdepan kesusahan antara penyebab kalangan anak mereka tercicir dalam pelajaran.
Apabila anak-anak membuka mata dan bangun tidur dalam pondok binaan kayu hutan yang beratapkan daun kayu, mereka terlebih dahulu memegang sumpitan, menjelajah hutan dan mengenal haiwan liar antara pengetahuan dan kemahiran utama berbanding bersahabat dengan pensel dan buku.
Namun usaha terus dilakukan oleh kalangan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah (SMKJPSHAS), Jerantut untuk memastikan anak Orang Asli etnik Bateq tidak tercicir dalam pendidikan kini sudah menampakkan hasil melalui pelaksanaan program khas Chup Badui Sikulah atau Mari ke Sekolah.
Penggunaan slogan Chup Badui Sikulah dalam bahasa Bateq untuk menyampaikan hasrat serta iltizam guru SMKJPSHAS mengajak serta memberi dorongan kepada remaja etnik Bateq hadir ke kelas (sekolah) dan melupakan seketika ruang alam hutan hujan tropika yang sinonim dengan kehidupan mereka selama ini.
Program berkonsepkan Perahu dan Roda dengan tema ‘Datangmu Seiring, Pulangmu Ku Iring’ itu memfokuskan kepada penyediaan sistem pengangkutan yang lebih selamat dan teratur untuk pelajar Orang Asli etnik Bateq dari Kampung Tanjong, Kampung Yong, Kampung Teresek dan Kampung Dedari dengan menaiki ‘bot penambang’ ke sekolah.
Program itu turut mendapat sokongan serta galakan Jabatan Pendidikan Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Sukarelawan Nature Lifeguard Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) Kuala Tahan serta ibu bapa.
Perkara berkenaan dikongsi dengan Utusan Pelajar oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMKJPSHAS, Hamizan Hamzah menjelaskan inisiatif berkenaan bukan sahaja memberikan impak positif kepada kadar peningkatan kehadiran seramai 20 orang murid sekolah itu malahan aspek keselamatan turut dititikberatkan.
“Pelajar yang menggunakan bot penambang dipantau secara dekat oleh guru dengan kerjasama pihak berkuasa dan agensi berkaitan
“Selain memastikan pelajar hadir ke sekolah, program ini juga menitip keyakinan kalangan ibu bapa bahawa anak mereka berada dalam keadaan selamat sepanjang perjalanan pergi dan balik,” katanya ketika pelancaran program di Kuala Tahan, Jerantut baru-baru ini.
Menurut Hamizan, sebelum ini faktor geografi antara cabaran utama ke sekolah apabila pelajar Orang Asli perlu menempuh laluan sungai dan denai hutan untuk tiba ke sekolah menyebabkan kehadiran harian tidak konsisten.
Katanya, menerusi Program Perahu dan Roda pelajar dibawa ke sekolah menggunakan dua kaedah pengangkutan, iaitu bot menyeberangi Sungai Tembeling dan kenderaan pacuan empat roda datang ke sekolah dan pulang ke rumah selepas belajar.
“Program ini mencapai objektif meningkatkan kadar kehadiran murid, menyediakan sistem pengangkutan bersepadu yang lebih selamat, memperkukuh pemantauan guru serta memupuk hubungan erat antara pihak sekolah, pelajar dan komuniti Orang Asli etnik Bateq termasuk agensi kerajaan di Kuala Tahan.
“Pelaksanaan program disusun dengan penyusunan jadual yang tetap, iaitu guru mengiringi pelajar secara bergilir setiap minggu serta kempen kesedaran pendidikan melibatkan masyarakat minoriti berkenaan,” katanya.
Sementara itu, penjaga pelajar dari Kampung Tanjung, Sarina Pawer, 55, berkata, program itu sangat bermakna kerana memberikan galakan pelajar di kampung itu terus komited untuk belajar serta rajin ke sekolah walaupun masih berdepan kesusahan.
“Pelajaran mampu mengubah kehidupan masyarakat kami pada masa akan datang dan peluang serta kemudahan yang diaturkan oleh guru SMKJPSHAS sangat bagus sekali gus pelajar tidak mahu mereka ketinggalan dalam pelajaran serta cabaran era pembangunan moden.
Tambahnya, ibu bapa dan penjaga sangat berterima kasih serta menghargai sokongan logistik berterusan daripada Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah.
Jerantut dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta inisiatif kebajikan daripada guru tersebut.
Dalam pada itu, penduduk Kampung Sungai Yong, Neng Usop, 22, berkata, program Chup Badui Sikulah berpotensi diperluaskan ke perkampungan Orang Asli di tempat lain.
“Saya amat menghargai serta menyanjung tinggi dedikasi dan kerjasama pentadbir sekolah termasuk guru Chup Badui Sikulah, guru kaunselor dan penjaga memastikan pelajar Orang Asli etnik Bateq tidak tercicir dalam pelajaran dan mampu sebaris dengan kaum lain,” katanya.
Ujarnya, sejak pelaksanaan program tersebut, dia dimaklumkan kehadiran pelajar meningkat 89 peratus sejak bulan Ogos lalu berbanding sebelum itu dan kelihatan pelajar mula sedar dan berminat ke sekolah.- UTUSAN