GEORGE TOWN : MCA dijangka menampilkan calon anak tempatan bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah yang akan diadakan tidak lama lagi.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pemilihan calon tersebut dibuat berdasarkan kriteria individu yang dilahirkan di kawasan berkenaan serta memahami latar belakang dan keperluan masyarakat setempat.
“Kita meletakkan calon anak watan untuk PRN Sabah. Bermaksud, dia mesti dilahirkan di situ, faham mengenai orang Sabah dan bukan orang asing. Kita tidak akan meletak calon ‘bidang terjun’,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Pulau Pinang di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 29 November sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 15 dan 25 November.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, calon-calon berkenaan sudah dikenal pasti dan MCA kini berada pada fasa akhir untuk memuktamadkan senarai tersebut.
“Kita sudah bersiap siaga, cuma perlu dimuktamadkan. Kita jangkakan semua proses selesai sebelum 15 November kerana hari penamaan calon semakin hampir,” katanya.
Ka Siong berkata, MCA juga akan melancarkan jentera pilihan raya parti kira-kira seminggu sebelum tarikh penamaan calon sebagai persiapan menghadapi PRN berkenaan.
Beliau berkata, proses pemilihan calon dibuat mengikut tatacara (SOP) parti dan akan diumumkan hanya selepas segala tapisan selesai.
Mengulas mengenai hubungan MCA dengan Barisan Nasional (BN) ketika ini pula, beliau menegaskan, parti itu masih berada dalam gabungan berkenaan dan tidak timbul isu sebaliknya.
“Saya rasa yang penting pada waktu ini ialah kita sama-sama dalam keluarga BN. Seperti mana yang kita huraikan, politik adalah sesuatu yang agak dinamik.
“Maksud saya, kita sedang berdepan dengan PRN Sabah. Kita menggembleng tenaga untuk menghadapi satu cabaran besar. Ini adalah demi kepentingan bersama,” katanya.
Tambah beliau, fokus utama MCA kini ialah memastikan kesiapsiagaan menghadapi PRN Sabah dan menumpukan kepada kerja-kerja parti yang mencabar menjelang pilihan raya.









