KUALA SELANGOR: Barisan Nasional (BN) akan mempertaruhkan calon daripada MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk bertanding mewakili komponen itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Namun, MIC berkemungkinan tidak diletakkan calon berikutan jumlah pengundi kaum India yang kecil di negeri berkenaan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah dan kerusi dan calon itu akan diumumkan menjelang hari penamaan calon kelak.
“MCA kita akan berikan calon untuk bertanding dan begitu juga PBS sebagai parti komponen dalam BN. MIC mungkin tidak sebab jumlah pengundi India terlalu kecil dan tidak signifikan di Sabah,” katanya ketika ditemui pada program Outreach Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) di kampus Puncak Alam di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, calon BN kebanyakkannya terdiri daripada muka baharu selain mengekalkan muka lama sedia ada.
“Kita juga akan ramaikan juga golongan profesional untuk diletakkan sebagai calon. Selain itu, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN telah dimuktamadkan dan tiada pertindihan kerusi,” ujarnya.
Utusan Malaysia pada Khamis lalu melaporkan latar belakang etnik dan sub etnik diambil kira dalam penilaian calon BN bagi memastikan kemenangan parti pada PRN Sabah di samping kriteria kemampuan menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) (‘WALI’).
Rabu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16.
Sebelum itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan ADUN yang dilantik.
Pada pilihan raya ke-16 2020, PRU DUN itu menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ketika itu dalam gabungan Perikatan Nasional bersama BN dan Parti Bersaty Sabah (PBS) serta sokongan Ahli DUN bebas berjaya membentuk kerajaan Sabah apabila memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.-UTUSAN










