PRN Sabah: Amanah sedia bertanding di DUN Sulabayan - Utusan Malaysia

PRN Sabah: Amanah sedia bertanding di DUN Sulabayan

MUHAMMAD Faiz Fadzil (empat kiri) melakukan gimik mengisi minyak sebagai simbolik perasmian stesen petrol untuk kegunaan nelayan di Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) sedia bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 jika diberi mandat oleh Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agungnya Muhammad Faiz Fadzil bagaimanapun berkata, agihan kerusi masih lagi dalam proses perbincangan dengan rakan-rakan gabungan PH.

“Setakat hari ini kita (Amanah) digambarkan dengan Sulabayan dan kerusi itu agak releven dengan Amanah.

“Hal ini kerana penduduk di kawasan itu ramai yang beragama Islam. Ia selari dengan dasar Amanah memperjuangkan Islam. Jadi kita bawa agenda itu untuk tawarkan kepada rakyat Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Madani di Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu di Kuala Besar, di sini hari ini.

Muhammad Faiz memberitahu, beliau berharap rakyat di DUN itu dapat memberi mandat kepada Amanah pada PRN Sabah ke-17 nanti.

Katanya, parti itu sedia menyahut cabaran dan membantu kemenangan PH bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun ada sedikit perbezaan dalam gabungan parti Kerajaan Perpaduan di Sabah (Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Barisan Nasional (BN)) saya yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menyatukan perkara tersebut.

“Apa yang penting kita berjaya ditubuhkan kerajaan di Sabah selepas PRN nanti,” ujarnya.

Utusan Malaysia 21 Oktober lalu melaporkan, Amanah dikatakan hanya diberikan satu kerusi untuk ditandingi pada PRN Sabah ke-17 akan datang iaitu di DUN Sulabayan.

Sumber memaklumkan, nama Zulfikar Ab Mijan di­sebut sebagai calon yang akan dicalonkan di kerusi tersebut di mana kawasan itu juga dikaitkan dengan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Bagaimanapun situasi itu menimbulkan persoalan ke­rana Amanah yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dilihat akan bertembung dengan Warisan yang merupakan sekutu di peringkat Kerajaan Perpaduan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN