ALOR SETAR: Sebuah premis di Gurun didenda RM135,000 setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini kerana melakukan tiga kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada 13 Oktober 2023 dan 16 Februari lalu.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, syarikat yang mengusahakan perniagaan kitar semula itu pernah disabitkan hukuman denda berjumlah RM40,000 pada 26 September 2024 kerana kesalahan sama.
Katanya, dalam prosiding hari ini premis terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34A(7) kerana menjalankan pemerolehan buangan terjadual elektrik dan elektronik (e-waste) yang tidak termasuk dalam skop kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekeliling (EIA).
“Manakala kesalahan kedua kerana beroperasi sebagai premis yang ditetapkan dengan memproses buangan terjadual tanpa lesen di bawah Seksyen 18. Bagi kedua-dua kesalahan itu, syarikat terbabit didenda RM85,000.
“Kesalahan ketiga juga di bawah Seksyen 18(1) yang dilakukan ketika Operasi Hazard 1 oleh JAS Kedah dan bagi kesalahan ini syarikat didenda RM50,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, premis terbabit yang diwakili oleh Pengurus Bahagian Sumber Manusia syarikat telah mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan.
Katanya, mereka turut memohon agar hukuman diringankan dengan alasan syarikat dalam proses untuk mendapatkan kelulusan Laporan EIA yang baharu.
“Namun, Pegawai Pendakwa JAS Kedah memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada syarikat memandangkan ia kesalahan berulang dan bukan kesalahan pertama dibawa ke peringkat mahkamah,” katanya. – UTUSAN










