JOHOR BAHRU: Polis Johor melupuskan pelbagai jenis dadah serta peralatan memproses dadah yang dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari tahun 2000 hingga 2024 berjumlah RM43.54 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, ia melibatkan dadah dalam bentuk pepejal seberat 651.8 kilogram (kg) dan dalam bentuk cecair sebanyak 12,243 liter yang membabitkan sejumlah 4,528 kertas siasatan dari tahun 2000 hingga tahun lalu yang telah selesai perbicaraan di mahkamah.
“Antara barang kes dadah utama yang akan dilupuskan terdiri daripada dadah jenis heroin seberat 57.81kg, kanabis 17.1kg, ketamin 94.39kg, methamphetamine 49.65kg dan MDMA 105.64kg.
“Ia turut membabitkan dadah jenis Nimetazepam 1.59kg, daun ketum 325.38kg, air ketum 5.120 liter, pil yaba/pil kuda 193.14 gram, cecair vape codeine 456.10 gram dan cecair bahan kimia yang digunakan memprosss dadah sebanyak 6,666 liter,” katanya pada sidang akhbar Pelupusan Bahan Kes Dadah dan Bahan Memproses Dadah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, kesemua dadah ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan seramai 1.39 juta penagih dadah dan pelupusan tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan Perintah Tetap Ketua Polis Negara Bahagian D207 (pelupusan barang kes). – UTUSAN







