HULU SELANGOR: Polis membuka kertas siasatan tatatertib dibuka terhadap seorang pegawai dan anggotanya yang didakwa menawarkan RM500 sebagai sogokan untuk menarik balik laporan yang dibuat individu berhubung kes ah long.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya telah mengenal pasti kejadian itu dan disahkan ia berlaku di salah satu daerah di negeri ini.
Menurutnya, laporan yang dibuat pengadu telah dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan siasatan sedang dijalankan.
“Cuma, dari segi salah laku pegawai dan anggota berkenaan dalam mengendalikan siasatan sewaktu berjumpa pengadu.
“Setelah siasatan awal dijalankan, pihak kami berpuas hati memang wujud dari segi salah laku di pihak pegawai dan anggota tersebut dan atas arahan saya kertas siasatan tatatertib dibuka ke atas mereka iaitu satu pegawai dan satu anggota,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di sini hari ini.
Tambahnya, pihak polis sentiasa mendengar rintihan daripada masyarakat dan menguruskan perkara itu dengan baik.
Media sebelum ini melaporkan seorang mangsa sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long mendakwa ditawar RM500 oleh seorang pegawai polis sebagai sogokan untuk menarik balik laporan yang dibuatnya berhubung kegiatan jenayah itu minggu lalu.
Mangsa berusia lingkungan 40-an mendakwa membuat laporan polis selepas menerima ugutan daripada along berkenaan.
Individu itu dilaporkan berkata telah hadir di IPD terbabit pada 1 Oktober lalu untuk memberi keterangan.-UTUSAN









