Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) mengambil maklum kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung cadangan memperhalusi langkah keselamatan di sekolah bagi menangani isu buli.
PIKM berpandangan perkara ini perlu diteliti secara rasional berdasarkan falsafah keselamatan negara, kerana ia turut memberi kesan langsung kepada industri keselamatan swasta yang sekian lama menyokong ekosistem keselamatan negara.
Umumnya, sekolah memerlukan perkhidmatan keselamatan yang menyeluruh untuk melindungi pelajar dan kakitangan melalui pencegahan ancaman, tindak balas kecemasan dan kawalan akses.
Komponen penting termasuk sistem pengawasan (kamera), kawalan akses (kad kunci, pengimbas), langkah keselamatan fizikal (pagar, penggera), kakitangan terlatih (pengawal keselamatan, responden pertama) dan sistem komunikasi untuk pelaporan insiden pantas dan penyelarasan dengan perkhidmatan kecemasan.
Sebahagian besar ahli PIKM yang terdiri dari syarikat-syarikat keselamatan yang dilesenkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi perkhidmatan keselamatan ke atas lebih dari 10,000 sekolah di seluruh negara.
Isu pilihan antara keselamatan swasta dan polis bantuan perlu dilihat dari segi fungsi. Selain fleksibel dalam operasi. Industri keselamatan swasta mempunyai kelebihan dari segi liputan meluas dengan kekuatan kira-kira 200,000 pengawal (lebih 1000 syarikat keselamatan). Polis bantuan pula berkuasa penuh mengikut Akta Polis 1967.
Polis bantuan, sebaliknya, memiliki kuasa penguatkuasaan undang-undang yang serupa dengan polis biasa dalam bidang kuasa mereka, membolehkan lebih banyak campur tangan langsung dan penyiasatan insiden, walaupun mereka mungkin kurang fleksibel atau meluas berbanding pengawal keselamatan swasta. Aspek ini tentunya melibatkan sifat operasi dan kos.
Dari segi objektif, polis bantuan diwujudkan khusus bagi menyokong Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan tertentu yang diisytihar di bawah undang-undang khas, manakala syarikat keselamatan swasta ditubuhkan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971 untuk menjalankan fungsi perlindungan dan pencegahan kerugian.
Berkaitan isu buli, ia kini ditakrif sebagai jenayah melalui pindaan Kanun Keseksaan 2025 yang memperkenalkan Seksyen 507B-507G, dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, atau kedua-duanya.
Kajian mendapati gejala ini banyak berpunca daripada faktor individu dan keluarga, termasuk masalah psikologi, konflik rumah tangga serta sekolah yang tidak tegas atau membiarkan tingkah laku agresif berlaku tanpa tindakan adalah antara penyebab gejala buli berlaku di sekolah-sekolah.
Justeru, menangani buli perlu dilihat secara objektif dan ia melibatkan komuniti iaitu, ibu bapa, guru, rakan sekolah dan masyarakat umumnya dan bukan sekadar mengganti pengawal keselamatan swasta kepada polis bantuan sebagai penyelesaian.
Buli merupakan masalah serius yang menjejaskan kesihatan mental, prestasi akademik dan kesejahteraan sosial pelajar.
Namun, ia tidak boleh dianggap semata-mata isu keselamatan. Pencegahannya perlu menekankan pendidikan empati, pembinaan sahsiah, budaya sekolah positif serta sokongan komuniti, selain daripada aspek kawalan fizikal.
PIKM percaya bahawa penempatan Polis Bantuan di sekolah bukanlah solusi yang sesuai dan lestari.
Fokus sebenar harus diberikan kepada pendidikan nilai, pengukuhan sahsiah murid dan guru, serta sokongan psikososial yang menyeluruh. PIKM bersedia untuk bekerjasama dengan KPM dalam mencari pendekatan terbaik yang lebih holistik, seimbang, dan mampan demi keselamatan serta kesejahteraan murid, tanpa mengorbankan kelangsungan industri keselamatan swasta. – UTUSAN
Datuk Mohammad Ubaidillah ialah Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM)