PETLAING JAYA: Peserta dari Nigeria dan India muncul juara dalam Finale Gala Night Miss & Mrs Majestic International 2025 yang berlangsung penuh gemilang di Wyndham Ion Majestic, Genting Highlands, baru-baru ini.
Acara bertaraf antarabangsa itu dianjurkan oleh Huda Hassan Kuala Lumpur, di bawah pimpinan Sharifah Huda Syed Hassan, dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia.
Dalam kategori Miss, gelaran juara disandang oleh Patricia Patrick dari Nigeria, manakala tempat kedua dimenangi oleh Julfarina Peters Abdullah dari Malaysia dan tempat ketiga oleh Darya Companietes dari Kazakhstan.
Bagi kategori Mrs, kemenangan utama menjadi milik Jyotsna Bakshy Rao dari India, diikuti Vinita Shrimali (India) dan Rose Mary Dass (Thailand).
Sharifah Huda berkata, acara itu bukan sekadar pertandingan ratu cantik tetapi sebuah pentas yang meraikan keanggunan, keyakinan dan keberanian wanita dari seluruh dunia.
“Melihat para peserta melangkah dengan penuh yakin di lokasi tertinggi pelancongan negara , dengan langit dan awan sebagai latar, adalah pengalaman luar biasa dalam dunia fesyen,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran edisi kali ini mencerminkan semangat perpaduan antarabangsa melalui budaya dan fesyen, sambil mengangkat nama Malaysia sebagai tuan rumah acara berprestij dunia.
“Saya berharap majlis ini menjadi jambatan antara negara, budaya dan fesyen.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada MOTAC, Tourism Malaysia serta semua penaja dan pasukan produksi yang telah bekerja keras menjayakan malam yang begitu istimewa ini,” tambahnya.
Acara yang berlangsung di lokasi eksklusif itu turut dihadiri tetamu kehormat, wakil agensi pelancongan, personaliti fesyen dan peserta dari pelbagai negara serta penaja, menjadikannya antara acara ratu cantik antarabangsa paling berprestij yang pernah diadakan di Malaysia.-UTUSAN