SEBUT sahaja Ratu Dangdut Malaysia, pasti nama penyanyi Amelina yang dianggap antara paling layak membawa gelaran tersebut.
Bahkan Amelina dianggap antara penyanyi dangdut paling berjaya dengan pelbagai pencapaian diraih sepanjang lebih tiga dekad.
Ketika zaman kegemilangannya di era 90-an, Amelina atau Norazlina Amir Sharipuddin dipandang sebagai penyanyi dangdut terlaris berdasarkan rekod jualan album pertama, Amelina, pada 1994 yang mencecah lebih 200,000 unit.
Album kedua Amelina, Asyik pada tahun seterusnya berjaya mengatasi kejayaan album pertamanya dengan rekod jualan sehingga 250,000 unit.
Kemanisan berada di puncak kejayaan sudah penyanyi kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan ini rasai sejak beliau berumur awal 20-an lagi.
Amelina ketika kemunculan awalnya terus meledak menerusi kejayaan album pertama, sekali gus tidak menang tangan menerima pelbagai tawaran membuat persembahan.
Namun, sebelum menempa nama, Amelina pernah melalui fasa sukar hanya disebabkan gelaran penyanyi baharu dan tidak berpengaruh.
RAMAI TUTUP PINTU
Apatah lagi kemunculannya ketika muzik dangdut ketika itu didominasi penyanyi lebih awal mencipta nama seperti Zaleha Hamid dan Ramlah Ram.
“Sebenarnya, banyak label terkenal yang menolak untuk mengedar album pertama saya.
“Selain kerana saya ini artis baharu ketika itu, mereka juga beralasan album dangdut sukar dijual zaman itu.
“Penerbit, arwah Ruslan Mamat risau dan buntu kerana sudah melaburkan simpanan sendiri untuk menghasilkan album tersebut. Banyak label yang ‘menutup pintu’.
“Namun usaha arwah berjumpa dan berbincang dengan Tony Fernandez yang ketika itu pengarah urusan Warner Music, berhasil. Pihak Warner Music bersetuju untuk membeli hak pemilikan album itu dan pada masa sama mengikat saya untuk bernaung di bawah mereka.
“Di bawah strategi pengedaran Warner Music, album pertama saya meledak dengan jualan keseluruhan melebihi 200,000 unit. Pencapaian itu mengejutkan ramai,” katanya.
Amelina antara penyanyi yang popular kerana penampilan dan lagu-lagunya. Dia penyanyi terawal yang muncul dengan dangdut kontemporari yang merupakan genre muzik baharu di era awal 90-an.
“Apabila sudah dikenali, tawaran menyanyi juga tak henti-henti. Bayaran pertama saya terima RM500. Waktu itu ramai penyanyi akan menolak kalau dibayar serendah itu.
“Tapi bagi saya jumlah itu lebih baik jika dibandingkan RM420 sebulan yang saya terima ketika jadi pekerja kilang sebelum menyanyi.
“Lama kelamaan kadar bayaran meningkat kepada RM30,000 bagi setiap persembahan. Pernah jugalah pendapatan saya mencecah sehingga RM100,000 sebulan,” kongsinya.
DIASUH AGAR BERDIKARI
Amelina membesar dalam keluarga yang sederhana bersama tiga adik beradiknya.
Bapanya, Allahyarham Amir Sharipuddin ialah polis bantuan yang tegas dan berdisiplin dalam membesarkan anak.
“Hidup kami sekeluarga cukup sederhana, tidak kaya dan tidak juga miskin. Kami adik beradik diasuh untuk berdikari.
“Kalau inginkan sesuatu, kami kena dapatkannya dengan usaha sendiri. Kerana itulah saya terus kerja kilang lepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.
Menurut Amelina, dia tidak pernah bercita-cita menjadi penyanyi walaupun berminat dengan bidang itu sejak kecil.
“Di sekolah saya dipanggil sebagai artis sebab aktif selalu membuat persembahan. Tapi kalau masuk pertandingan, saya tidak pernah menang.
“Seperkara tentang saya ini memang suka kelihatan menonjol. Saya pernah minta ayah saya sewa baju di butik pengantin Cina semata-mata untuk saya masuk pertandingan nyanyian,” ceritanya.
Bercerita lanjut, kata Amelina, disebabkan minat, dia pernah hadir ke konti Radio 3 Seremban untuk mengikuti sesi rakaman suara bagi sebuah program yang dianjurkan stesen radio tersebut.
“Ketika itu stesen radio itu mempelawa individu yang berminat untuk merakamkan nyanyian mereka di konti radio sebelum diperdengarkan kepada umum pada minggu seterusnya.
“Teruja saya, sampaikan saya rakam suara sendiri keluar radio dan edarkan rakaman-rakaman itu kepada kawan-kawan saya,” katanya.
Amelina memaklumkan, dia tidak menyangka salah seorang penyampai di stesen radio tersebut telah mencadangkan namanya kepada penerbit, Ruslan Mamat yang ketika itu sedang mencari penyanyi wanita.
“Bila berjumpa arwah Ruslan barulah saya dimaklumkan yang dia ingin saya nyanyikan lagu dangdut. Kecenderungan saya pada asalnya lebih kepada muzik pop dan rock seperti yang dibawakan Shima, Fauziah Latiff dan Ella.
“Apatah lagi lagu pertama yang saya rakam, Rindu, pada bahagian tertentu kedengaran sedikit lucah. Perkara itu menambah lagi rasa berat hati saya untuk menyanyikannya.
“Arwah ayah saya yang banyak memberi dorongan dan menasihatkan saya agar berfikir positif. Mahu atau tidak ketika itu, saya teruskan sahaja.
“Alhamdulillah, siapa sangka album pertama saya berjaya dan mendapat sambutan. Rindu pula pernah menjuarai carta Hits selama enam minggu dan rancak diputarkan di corong radio” kongsinya.
15 TAHUN BUANG SENI
Amelina mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Reduan Mahmood pada Mei 1999.
Namun perkahwinan mereka bertahan selama 26 tahun apabila keduanya berpisah pada 2016.
Selepas berkahwin, penyanyi popular ini pernah menghilang selama 15 tahun daripada dunia seni. Ketika itu, Amelina masih bernaung di bawah Warner Music.
Kehilangan Amelina pada waktu itu adalah ketika kerjayanya berada di kemuncak.
“Sepanjang 15 tahun itu, banyak masa saya habiskan di rumah. Fokus saya waktu itu hanyalah untuk keluarga, membesarkan anak-anak. Saya buang terus dunia glamor yang pernah saya lalui sebelum itu.
“Saya tidak berkawan, kerap terperap di rumah, amat jarang keluar ke tempat awam. Memang kehidupan saya selepas kahwin bertukar sepenuhnya, daripada seorang selebriti kepada suri rumah sepenuh masa.
“Masa itu saya tidak ada keinginan walau sedikitpun untuk kembali kepada dunia nyanyian. Saya rahsiakan keberadaan saya. Putus hubungan dengan ramai kenalan industri.
“Ketika saya anggap Amelina adalah diri saya yang dahulu. Selepas bergelar isteri, saya hanyalah seorang Norazlina.
“Dunia seni saya buang terus ketika itu. Saya tidak mengikuti perkembangan. Tumpuan saya semata-mata untuk keluarga,” ujarnya.
Pada 2015, Amelina memutuskan untuk kembali kepada dunia seni selepas lebih sedekad menghilang.
Kemunculan semula Amelina diperkatakan ramai pihak termasuk rakan selebriti yang sekian lama cuba menjejaki keberadaannya.
“Saya kembali kerana saya rasa perlu bertanggungjawab untuk mencari pendapatan demi membesarkan anak-anak.
“Itulah yang menjentik hati saya untuk menyanyi semula. Bukan kerana hal yang lain, hanya untuk anak,” kongsinya.