Perlu aktivis wanita ke Gaza, keluarga mereka juga beri restu - PU Amin

Perlu aktivis wanita ke Gaza, keluarga mereka juga beri restu – PU Amin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Amin menjelaskan Islam mempunyai perbahasan yang luas berhubung hukum wanita bermusafir tanpa mahram, terutama apabila melibatkan misi bantuan kemanusiaan seperti disertai aktivis wanita dalam Global Sumud Flotilla (GSF).

Menurut beliau, walaupun hukum asal melarang wanita bermusafir tanpa mahram, syariat Islam menetapkan pengecualian dalam situasi tertentu khususnya apabila perjalanan itu berlangsung secara terkawal, selamat dan dengan tujuan murni.

“Memang benar, berdasarkan hadis, hukum asal tidak membenarkan wanita keluar bermusafir tanpa mahram kerana bimbang akan keselamatan wanita tersebut.

“Namun begitu, dalam keadaan tertentu, para sahabat membenarkan wanita bermusafir secara berkumpulan apabila diyakini perjalanan itu selamat dan tiada unsur ikhtilat (pencemaran akhlak),” katanya dalam satu temu bual menerusi program radio Suria FM, baru-baru ini.

PU Amin berkata, pendekatan yang sama boleh diguna pakai dalam konteks misi kemanusiaan ke Gaza, yang disertai oleh aktivis wanita berpengalaman serta dikendalikan dengan rapi, termasuk pengangkutan menggunakan kenderaan komersial dan kawalan keselamatan ketat.

“Hari ini kita lihat wanita menyertai misi kemanusiaan ke pelbagai negara, termasuk ke Gaza. Mereka bergerak dalam kumpulan, profesional, dan melalui saluran yang sah. Maka ia termasuk dalam kategori musafir yang dibenarkan,” jelasnya.

Tambah beliau, penglibatan wanita dalam misi kemanusiaan bukan bersifat simbolik semata-mata, sebaliknya sangat diperlukan, khususnya dalam aspek rawatan kesihatan, sokongan psikologi dan bantuan kemanusiaan yang lebih sesuai disampaikan oleh aktivis dan doktor wanita.

“Bayangkan ibu-ibu di Gaza kehilangan tempat tinggal, suami dan dalam keadaan trauma hingga susu badan kering. Kehadiran aktivis wanita yang memberikan sokongan emosi, pelukan serta rawatan psikologi amat besar ertinya.

“Malah, kehadiran doktor wanita dan pakar psikologi wanita sangat diperlukan untuk menjaga sensitiviti dan keperluan mangsa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, PU Amin turut berkongsi pengalaman beliau sendiri ketika menghantar rombongan aktivis wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

“Saya sendiri berada di KLIA sewaktu rombongan pertama berlepas. Saya lihat keluarga, suami dan anak-anak memberi restu serta iringan doa. Tidak timbul isu mereka pergi tanpa izin atau tanpa mahram.

“Mereka tinggalkan keluarga, anak-anak dan pekerjaan demi menyampaikan suara kita kepada rakyat Palestin,” katanya.

Terdahulu, kenyataan seorang pereka fesyen tempatan yang mempertikaikan penyertaan wanita dalam misi kemanusiaan ke Gaza tanpa mahram mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.

Individu berkenaan menegaskan bahawa wanita tidak wajar bermusafir tanpa mahram walau atas apa alasan sekalipun.

Namun begitu, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat Palestin serta tidak memahami konteks sebenar misi bantuan antarabangsa itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN