PETALING JAYA: Hubungan perdagangan antara Malaysia dan Kemboja terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan nilai dagangan dua hala mencecah hampir AS$750 juta (RM3.5 bilion).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah tersebut dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, meningkat 45 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, potensi ekonomi antara kedua-dua negara mampu mencapai nilai perdagangan dua hala dengan melebihi AS$1 bilion (RM4.6 bilion) menjelang 2026.
“Malaysia akan terus mengukuhkan kedudukan sebagai sebahagian pelabur utama di Kemboja dan berhasrat memperluaskan kerjasama dalam bidang strategik seperti ketersambungan digital, tenaga boleh diperbaharui serta industri agro-makanan.
“Syarikat-syarikat Malaysia telah melabur secara signifikan dalam sektor utama seperti telekomunikasi, perbankan dan
pembuatan, sekali gus menyumbang bukan sahaja kepada perdagangan dua hala tetapi juga kepada pertumbuhan dan kesejahteraan ekonomi domestik Kemboja,” katanya dalam kenyataan.
Beliau kini menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AADMER) dan Konvensyen Pihak-pihak yang Berkepentingan ke-13 di Phnom Penh bermula 13 sehingga 15 Oktober.
Dalam lawatan tersebut, beliau mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, Hun Manet dan Presiden Senat, Hun Sen.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia dan Kemboja turut menegaskan aspirasi bersama untuk memupuk keamanan dan kestabilan serantau menerusi penubuhan Pasukan Operasi ASEAN (AOT) bagi memperkukuh kerjasama keselamatan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur hujung bulan ini.
“Penubuhan AOT akan menjadi mekanisme utama bagi memastikan perjanjian gencatan senjata dilaksanakan seperti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kedua-dua negara juga akan meneroka dan bekerjasama dalam bidang baharu khususnya dalam industri halal.
“Malaysia boleh berkongsi pengalaman, kepakaran pensijilan, pembangunan Taman Industri Halal dan amalan terbaik untuk membantu Kemboja membangunkan ekosistem halal yang kukuh dan diyakini dalam kerangka kewujudan Majlis Halal ASEAN,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia terus memastikan kebajikan pekerja Kemboja terpelihara di samping memperluas peluang tenaga pengajar dan pensyarah Kemboja di Malaysia khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).-UTUSAN