IPOH: Perak tidak pernah mengimpikan untuk menduduki tangga teratas Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 walaupun untuk seketika.
Malah, Ketua Jurulatih Perak mengakui Shamsul Saad terkejut dengan pencapaian anak buahnya setakat ini yang berjaya mengutip 17 mata hasil lima kemenangan dan dua kali seri untuk menduduki tangga teratas liga.
Perak menduduki tangga teratas selepas membenam Manjung FC 4-1 dalam pertembungan derby pasukan dari Perak di Kompleks Bola Sepak Perak di Chepor di sini semalam.
Kedudukan Perak di tangga teratas liga bergantung kepada keputusan pencabar terdekat, Kelantan WTS, Armed Forces FC dan Kedah yang beraksi hari ini.
“Kami bersyukur kerana berjaya menang dan mengutip mata penuh dari perlawanan ini.
“Kita tak pernah mengimpikan untuk menduduki puncak carta liga,” katanya selepas perlawanan semalam.
Jurulatih itu berkata, prestasi konsisten, disiplin serta komitmen tinggi setiap ahli pasukan adalah faktor kejayaan pasukan itu.
Namun pada masa yang sama, Shamsul yang mesra dengan panggilan Choi mengingatkan pemain supaya sedar perjalanan Perak masih jauh.
“Saya harap kami dapat kekalkan momentum baik ini pada perlawanan akan datang,” katanya.
Menurutnya, antara berita baik buat Perak ialah kembalinya dua pemain utama yang berehat panjang akibat kecederaan iaitu Alif Zikri dan Fadhil Idris
“Kedua-dua mereka menunjukkan prestasi yang sangat baik pada perlawanan ini. Semoga mereka terus kekal bersama pasukan selepas ini,” katanya.
Pada perlawanan semalam, Perak ketinggalan 0-1 kepada pasukan pelawat hasil jaringan Saifuddin Khairul Anuar pada minit ke-43.
Namun Perak bangkit bermula dengan jaringan penyamaan Fadhil Azmi pada minit ke-45, disusuli tiga lagi gol masing-masing menerusi Ekene Victor, Alif Zikri dan Amirul Akmal. – UTUSAN