Pengurniaan darjah bukti Kesultanan Pahang iktiraf kajian hal kedaulatan raja-raja Melayu

Pengurniaan darjah bukti Kesultanan Pahang iktiraf kajian hal kedaulatan raja-raja Melayu

WAN Ahmad Fauzi Wan Hussain (kiri) bergambar bersama Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-66 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain menyifatkan penganugerahan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang diterima adalah satu pengiktirafan kepada hasil pelbagai kajiannya dalam hal ehwal kedaulatan raja-raja Melayu.

Beliau yang merupakan Profesor Madya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun itu berkata, ini termasuk kajiannya berhubung kepentingan sejarah perundangan yang dikemukakan melalui jurisprudens watan dalam pentafsiran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, meskipun beliau ikhlas dalam memperjuangkan elemen adat Melayu dan adat tempatan sebagai jati diri bangsa Malaysia, pengurniaan tersebut menunjukkan institusi istana turut menghargai objektif dan bentuk kajiannya.

“Alhamdulillah, saya menjunjung kasih atas pengurniaan darjah DSAP oleh Tuanku Sultan Pahang.

“Ini akan memberi lebih galakan kepada saya untuk terus membuat kajian dan menghasilkan dapatan yang berwibawa dalam pelbagai medium komunikasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat kepada 50 individu pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-66 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz.

Seramai tujuh individu menerima Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri; seorang penerima darjah kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera manakala sembilan individu menerima DSAP yang membawa gelaran datuk.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Pahang turut berkenan menganugerahkan 19 individu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran datuk selain mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada dua individu, serta Setia Mahkota Pahang (SMP) (dua individu).

Seramai enam orang menerima Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), seorang penerima Ahli Mahkota Pahang (AMP) dan tiga individu menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN