PETALING JAYA: Pengendali pelancongan perlu lebih agresif dalam merancakkan industri pelancongan negara dan memanfaatkan sepenuhnya insentif pelepasan cukai sehingga 100 peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Ini bagi memastikan sasaran menarik 47 juta pelawat antarabangsa dengan jangkaan pendapatan pelancongan mencecah RM329 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dapat dicapai.

Pengasas Your Inbound Matters (Platform Komuniti Professional Pelancongan Dalam Negeri), Uzaidi Udanis berkata, bantuan kerajaan untuk sektor pelancongan kali ini adalah lebih baik daripada sebelumnya.
“Saya boleh katakan peruntukan kali ini bersifat menyeluruh kerana manfaat bukan hanya kepada rakyat tempatan yang melancong dalam negara, malah pengusaha pelancongan yang boleh menikmati 100 peratus pelepasan cukai ke atas nilai peningkatan pendapatan daripada pakej pelancongan ke Malaysia.
“Insentif ini secara tidak langsung menjadi pendorong kepada pemain industri pelancongan untuk berusaha lebih kerana pelepasan cukai yang diberikan amat menguntungkan industri.
“Kerajaan ibaratnya sudah berikan ‘umpan,’ cuma kita yang perlu makan ‘umpan’ tersebut bagi menggalakkan sektor pelancongan negara dan mengambil kesempatan mempertingkatkan prestasi syarikat kita sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM700 juta untuk sektor pelancongan, termasuk RM500 juta bagi pelaksanaan TMM2026.
Kerajaan turut mengumumkan beberapa insentif cukai khas untuk merangsang aktiviti ekonomi dalam sektor pelancongan, seni dan budaya termasuk pengecualian cukai 50 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi penganjur aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan, sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang melibatkan peserta asing.
Selain itu, potongan cukai sehingga RM500,000 diberikan kepada pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan.
Kerajaan juga memberikan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk syarikat, persatuan atau organisasi yang menganjurkan persidangan, pameran perdagangan atau insentif bertaraf antarabangsa.
Bagi menggalakkan pelancongan domestik, kerajaan turut memperkenalkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 atas perbelanjaan melibatkan bayaran di kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.
Menurut Uzaidi, insentif menarik ini akan menggalakkan pengusaha pelancongan tempatan untuk mempercepat digitalisasi seperti mewujudkan laman web sendiri yang membolehkan pelancong asing membuat tempahan pakej dan sebagainya secara terus.
“Buat masa ini penggiat industri pelancongan masih kurang mengguna pakai teknologi ini dan hanya menggunakan laman web untuk senarai pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan sahaja, sedangkan mempersiap laman web dengan kemudahan tempahan terus bukanlah perkara yang sukar.
“Selain itu, pengecualian cukai individu juga boleh diperolehi dengan syarat perbelanjaan melibatkan program kebudayaan. Bagi saya insentif ini amat bijak kerana pemain industri pasti akan mencari program kebudayaan yang menarik bagi pelancong tempatan.
“Jika sebelum ini kebudayaan negara tidak mendapat sambutan yang besar, dengan insentif ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan serta mengetengahkan keunikan budaya tempatan kepada warga kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al Safer Travel & Tour, Nazdiannie Nazri berkata, langkah kerajaan memperkenalkan insentif khas bagi sektor pelancongan dalam Belanjawan 2026 adalah tepat pada masanya untuk bantu merancakkan semula industri, terutama menjelang TMM2026.
“Insentif seperti potongan cukai untuk ubah suai premis, dan pengecualian cukai bagi syarikat yang bawa pelancong asing ke Malaysia akan beri nafas baharu kepada pengusaha tempatan.
“Ia memberikan peluang kepada kami untuk menambah baik fasiliti, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan melaksanakan promosi yang lebih agresif ke pasaran luar negara,” ujarnya.
PENGGIAT SENI TURUT DAPAT MANFAAT
Selain peruntukan sektor pelancongan, peruntukan RM140 juta untuk industri kreatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 mendorong kebangkitan industri seni negara apabila mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi kreatif tempatan.
Menurut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), suntikan dana itu akan membantu memperkukuh ekosistem industri kreatif, sekali gus memberi manfaat kepada penggiat seni dan menarik lebih ramai pelancong menghargai hasil karya anak tempatan.
“Pecahan dana ini menunjukkan kerajaan benar-benar prihatin terhadap nasib penggiat seni dan mahu terus membuka peluang pekerjaan dalam industri filem.
“Apabila industri kreatif kembali rancak, kebajikan penggiat seni akan lebih terjamin dan usaha promosi karya tempatan ke peringkat ASEAN dapat dipertingkatkan.
“Dengan galakan dan insentif ini, kita harap lebih banyak filem, drama dan kandungan tempatan dapat menembusi pasaran serantau,” katanya.
Peruntukan RM140 juta itu merangkumi RM110 juta insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti tinggi termasuk RM10 juta khusus kepada penerbitan kandungan kenegaraan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan insentif RM10 juta bagi penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa di Malaysia bagi menarik pelancong asing bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Kerajaan turut menyediakan RM20 juta untuk menyokong ekosistem Kreatif Digital khususnya penggiat kreatif animasi dan permainan digital tempatan.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, usaha itu merupakan satu langkah progresif dan inklusif oleh kerajaan terhadap dunia hiburan tempatan.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan yang semakin memahami dunia hiburan. Ini kerana, di negara-negara lain seperti Thailand dan Singapura, kerajaan mereka sudah mula memperuntukkan bajet khas untuk penganjur menganjurkan acara atau konsert berskala besar yang mampu menarik pelancong luar.
“Langkah sebegini sangat baik untuk merancakkan ekonomi. Contohnya, apabila konsert besar seperti Taylor Swift diadakan di luar negara, ramai rakyat Malaysia yang sanggup membeli tiket dan berbelanja di sana.
“Ini bermakna, wang kita mengalir keluar dari Malaysia. Sebaliknya, kalau konsert sebegitu diadakan di Malaysia, aliran wang akan masuk ke dalam negara kita,” katanya. – UTUSAN