PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan bantuan kewangan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan dengan menikmati pengecualian yuran pengajian di universiti awam (UA).
Tahun ini, seramai 78,883 calon ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dengan sesi pendaftaran kemasukan bermula bulan ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, KPT menyediakan inisiatif program SULUNG 2.0 dan 3.0 dengan seramai 6,028 pelajar B40 menikmati pengecualian yuran pengajian dengan peruntukan berjumlah RM13.04 juta pada tahun lalu bagi sesi akademik 2024/2025.
Katanya, KPT komited membantu pelajar khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah melalui pelbagai inisiatif yang disediakan tahun ini.
Beliau berkata, seramai 27,674 orang pelajar ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) bernilai RM1,500 untuk kemasukan ke UA dan politeknik bagi sesi Oktober ini melibatkan peruntukan berjumlah RM41.5 juta sebagai persiapan awal.
“Usaha tersebut adalah sebahagian daripada strategi memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif dan mampu memberi peluang sama rata kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang.
“Setiap UA menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) kini giat menjejak pelajar-pelajar yang berkeperluan dan pelajar yang menghadapi masalah juga boleh berhubung dengan UA masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebagai contoh, berdasarkan maklumat yuran pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), purata kos pengajian ijazah sarjana muda bagi setiap pelajar setahun adalah antara RM20,000 hingga hampir RM40,000 bergantung jenis kursus.
Di Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan misalnya, kos perubatan di UPM untuk setiap pelajar setahun bagi kolej tertentu adalah RM39,379 dengan yuran pengajian perlu dibayar pelajar hanya RM4,674 selepas subsidi RM34,705.
Bagi peringkat diploma, yuran pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk satu semester adalah sebanyak RM5,482 dan selepas subsidi RM4,734, pelajar hanya perlu membayar RM748.
Zambry berkata, bakal mahasiswa serta ibu bapa yang sedang berdepan dengan dugaan banjir juga tidak perlu bimbang.
Katanya, KPT mengarahkan semua UA memberikan kelonggaran dalam urusan pendaftaran kepada pelajar-pelajar yang terlibat dengan bencana.
“Saya menyeru kepada mereka yang terkesan agar menghubungi pihak universiti masing-masing untuk memaklumkan keadaan sebenar.
“Pihak universiti akan membantu dan memberi ruang secukupnya demi memastikan tidak ada pelajar yang tertinggal peluang melanjutkan pengajian,” katanya. – UTUSAN










