PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.
Abdul Aziz mengetuai senarai 109 penerima anugerah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) Tahun 2025 yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara hari ini.
Turut berkenan dikurniakan PGPP ialah Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Gilberd Philip Layang; Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail.
Pada istiadat berkenaan, Seri Paduka turut mengurniakan Darjah Panglima Setia Pasukan Polis kepada lima penerima, Pahlawan Pasukan Polis (16 penerima), Kesatria Pasukan Polis (enam penerima) dan Bentara Pasukan Polis (78 penerima).
Penganugerahan DKPP merupakan pengiktirafan kepada pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan keberanian, dedikasi dan pengorbanan tinggi dalam menjalankan tugas demi keselamatan negara.
Turut hadir pada istiadat itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail. – UTUSAN










