KUALA LUMPUR: Instrumen kewangan Islam perlu diterap dengan prinsip tadbir urus yang baik, keadilan dan nilai murni, dengan tidak hanya berteraskan keuntungan semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengenalan instrumen kewangan Islam perlu bermatlamat selaras dengan Maqasid Syariah dengan memastikan kesejahteraan ummah menerusi keadilan sosial dan amanah dalam pengurusan ekonomi.
Katanya, pendekatan tersebut penting agar sektor kewangan Islam terus kekal relevan dan berperanan dalam menyumbang kepada pembangunan menyeluruh masyarakat,
“Saya ingin merayu kepada anda semua untuk teruskan usaha ini, kerana instrumen-instrumen ini bertindak sebagai pelengkap kepada keseluruhan sistem Maqasid al-Syariah, menghasilkan keuntungan dengan tujuan dan tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang,” katanya ketika berucap dalam Forum Kewangan Islam Global (GIFF 2025) di Sasana Kijang hari ini
Menurut Anwar lagi, pendekatan yang beretika dan menyeluruh ini merupakan isu yang sangat kritikal dalam landskap ekonomi hari ini.










