Penduduk serbu Pantai Klebang kutip kerang

Penduduk serbu Pantai Klebang kutip kerang

ZUHAIZDI Ibrahim dari Sungai Udang menunjukkan hasil kutipan kerang di Pantai Klebang, Melaka semalam. – MINGGUAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Fenomena kemunculan kerang secara tiba-tiba di Pantai Klebang sejak seminggu lalu mencetuskan suasana pesta apabila semakin ramai penduduk sekitar datang setiap hari untuk mencari hasil laut itu.

Tinjauan Mingguan Malaysia di lokasi mendapati keadaan pantai dipenuhi orang ramai yang membawa baldi, cangkul kecil dan karung plastik untuk mengutip kerang di kawasan cetek ketika air surut.

Fenomena itu bukan sahaja membawa rezeki kepada penduduk tempatan, malah menjadikan Pantai Klebang tumpuan baharu pengunjung yang ingin merasai pengalaman mencari kerang secara semula jadi.

Seorang pengunjung, Azman Baba, 54, dari Bukit Rambai berkata, pada awalnya hanya beberapa orang datang ke pantai berkenaan namun kini jumlah­nya semakin bertambah selepas berita tentang kerang itu tular.

Katanya, kemunculan kerang pada mulanya pada kadar kuantiti biasa namun semakin hari, semakin banyak.

“Mula-mula tak banyak, tapi sekarang tiba-tiba banyak pula. Entah dari mana datangnya, saya memang biasa menjala udang di sini, tapi kali terakhir kerang naik banyak macam ni kira-kira lima enam tahun lepas.

“Sekarang dua hari sekali saya datang, boleh dapat empat atau lima kilogram, pantai ini dulunya tempat orang beriadah, tapi sejak kerang muncul ramai pula datang, saya tak jual, sekadar makan sendiri saja,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi pencari kerang, Zuhaizdi Ibrahim, 37, dari Su­ngai Udang berkata, dia sudah tiga kali datang ke pantai berkenaan sejak fenomena itu berlaku.

“Saya datang seawal pukul 8 pagi dan dalam masa tiga jam berjaya kumpul lebih 10 kilogram kerang, sebahagiannya saya buat makan sendiri dan selebihnya dijual pada harga RM10 sekilogram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN