BATU PAHAT: Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) melakukan pendekatan berlainan daripada kebiasaan dalam pengisian program Kampung Angkat MADANI (KAM) di Sri Medan di sini kelmarin.
Program yang tidak hanya memfokuskan kepada pelaksanaan KAM telah dibina momentumnya sejak lebih dua minggu lalu bagi meraikan pengiktirafan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Medan dan Kampung Sri Medan sebagai penerima manfaatnya.
Ketua Pengarah JAPEN, Julina Johan berkata, program KAM adalah inisiatif kerajaan Malaysia untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, ia juga bertujuan memacu pembangunan sosioekonomi komuniti kampung terpilih melalui projek fizikal dan infrastruktur asas.
“Inisiatif ini merupakan manifestasi sebenar amalan “serve back to community” iaitu satu pendekatan di mana setiap ketua jabatan turut memikul tanggungjawab secara kolektif untuk memastikan projek sampai terus kepada rakyat.
“Di SMK Sri Medan, projek pemasangan “Heli Fan” bernilai RM44,000 telah berjaya memberikan keselesaan kepada kira-kira 1,200 pelajar serta guru selain,” katanya.
Menurut Julina lagi, untuk naik taraf makmal komputer, kemudahan yang dibekalkan kepada pihak sekolah itu melibatkan 28 buah komputer meja, sembilan komputer riba, sebuah smart tv, pendingin hawa, meja serta kerusi dengan nilai keseluruhan RM250,000.
Ujarnya, program KAM ini juga melibatkan projek tambahan blok baharu di Masjid Pekan Sri Medan bernilai hampir RM500,000 yang sedang dilaksanakan menjadikan keseluruhan peruntukan bernilai RM790,000.
“Pembangunan ini dilaksanakan demi memberi manfaat kepada penduduk kampung terlibat kerana JAPEN percaya bahawa keseimbangan pembangunan merupakan asas kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonom negara.
“Dengan kata lain, setiap projek KAM ini bukan sahaja sekadar membina kemudahan, tetapi turut membina masa depan yang gemilang,” katanya.
Tambahnya, nilai pemeliharaan, rasa tanggungjawab dan memiliki secara bersama serta semangat gotong-royong perlu terus diamalkan agar manfaat dari pembangunan ini berpanjangan dan dapat dinikmati secara berterusan sehingga ke generasi akan datang.
“Inilah masa depan yang saya dambakan untuk seluruh warga Kampung Sri Medan, tanah yang pernah menjadi tempat saya bertatih, berjalan dan berlari mengejar impian kehidupan.
“Saya juga ingin mengajak seluruh masyarakat di Kampung Sri Medan terutama para pelajar untuk sama-sama memanfaatkan peluang yang telah disediakan ini,” katanya.
Julina turut berpesan agar nilai pemeliharaan, rasa tanggungjawab dan memiliki secara bersama serta semangat gotong-royong perlu terus diamalkan agar manfaat daripada pembangunan ini berpanjangan dan dapat dinikmati secara berterusan sehingga ke generasi akan datang. – UTUSAN