MELAKA: Pemilik kenderaan pacuan empat roda yang tular di media sosial kerana memaparkan tulisan Hebrew mendakwa sudah menggunakan pelekat berkenaan sejak tahun 2012 dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Israel.
Lelaki berusia 59 tahun itu yang merupakan pesara kerajaan tampil membuat laporan di Balai Polis Air Kuning, Gemencheh selepas dimaklumkan oleh adiknya bahawa kenderaan miliknya tular di media sosial kerana dikaitkan dengan mesej pro-Israel.
Menurut Ketua Polis Negeri Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, siasatan mendapati pesara berkenaan meminati pelbagai tulisan asing termasuk Greek, Russia dan Hebrew, dan pelekat pada kenderaannya itu bermaksud ‘Malaysia rumahku’ hanya melambangkan semangat cintakan tanah air, bukan mesej provokatif seperti yang disalah tafsir.
“Pemilik mendakwa tulisan itu diolah daripada frasa ‘Israel beiteinu’ yang bermaksud Israel rumahku, namun beliau menukar perkataan ‘Israel’ kepada ‘Malaysia’ bagi menggambarkan kecintaannya terhadap negara.
“Walaupun kenyataan sudah diambil, siasatan masih diteruskan bagi memastikan tiada unsur lain termasuk mendapatkan pandangan pakar bahasa,” jelas beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi.
“Bagi kedua-dua seksyen ini, ia bukan kesalahan lazim ditangkap. Kita perlu jalankan siasatan mengikut prosedur termasuk arahan siasatan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Saya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat provokasi atau ulasan melampau di media sosial. Gunakan bahasa kebangsaan supaya maksud lebih jelas dan tidak disalahertikan,” tambah beliau.
Tambah beliau, isu berkenaan hanya menjadi tular berikutan sensitiviti konflik Israel–Palestin yang sedang berlaku, sedangkan pelekat tersebut telah lama digunakan tanpa sebarang isu sejak lebih sedekad lalu.
Sebelum ini, satu klip video memaparkan sebuah pikap mempamerkan pelekat bertulisan Hebrew tular di media sosial.
Video berdurasi 14 saat itu mencetuskan reaksi dengan rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan pemilik pikap terbabit yang disifatkan cuba mencabar sensitiviti umat Islam. – UTUSAN