PETALING JAYA: Kerajaan akan meminda undang-undang pengangkutan jalan raya bagi membolehkan pemilik barangan juga dihukum untuk membendung kesalahan membawa lebih muatan melibatkan kenderaan perdagangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pindaan tersebut penting supaya tanggungjawab itu tidak hanya dipikul oleh pemandu dan pemilik kenderaan yang menyediakan perkhidmatan semata-mata.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan sesi pertemuan dengan pihak industri untuk memberi amaran dan memastikan pematuhan.
“Selain itu, rangka kerja undang-undang sedang disediakan supaya tanggungjawab bukan hanya tertumpu pada pemandu dan syarikat pengangkutan, malah juga pada consignor (pengirim) dan consignee (penerima barang),” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen, semalam.
Anthony Loke berkata, langkah itu bertujuan memastikan keselamatan jalan raya dijaga secara menyeluruh oleh semua pihak dalam ekosistem pengangkutan.
Selain itu, katanya, kerajaan juga menggalakkan dasar Road to Rail, dengan kargo berat dan berbahaya lebih digalakkan untuk diangkut melalui kereta api bagi mengurangkan bebanan jalan raya.
Semalam, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui JPJ melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran di seluruh negara bagi mengekang kesalahan membawa lebih muatan melibatkan kenderaan perdagangan.
Katanya, operasi dinamakan ‘Perang Lebih Muatan Kenderaan Perdagangan’ itu dilaksanakan serta- merta hingga 31 Disember ini.
Operasi itu meliputi lima zon utama iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo. Setiap negeri akan menggerakkan empat pasukan penguat kuasa, menjadikan keseluruhannya 12 pasukan aktif di setiap zon.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu akan dijalankan selama tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri pelaksanaan dengan fokus utama diberikan kepada kawasan panas yang sering melibatkan aktiviti kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan.
Isu lebihan muatan yang sering menjadi punca kemalangan maut di jalan raya bukan berpunca daripada pemandu semata-mata, sebaliknya bermula dari lokasi pengisian muatan seperti kilang, kuari dan gudang.
Pendedahan Utusan Malaysia 25 September lalu, membongkar bagaimana sebahagian pemilik muatan sendiri menetapkan jumlah barang yang perlu dibawa tanpa menghiraukan had berat ditetapkan undang-undang.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Pemandu Lori dan Bas Perak, Hairi Md. Ali, dilaporkan berkata, tindakan hanya terhadap pemandu dan pemilik kenderaan berat tidak akan menyelesaikan masalah secara menyeluruh kerana selagi pemilik muatan tidak dipertanggungjawabkan, isu ini tidak akan selesai kerana mereka yang menentukan sama ada kontrak syarikat logistik diteruskan atau ditamatkan. – UTUSAN










