IPOH: Pemandu van yang terbabit kemalangan dengan enam kenderaan di kawasan tempat letak kereta berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh Ahad lalu, telah menyerah diri hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki berusia 48 tahun itu hadir sendiri di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit gagal mengawal kenderaan semasa membelok masuk ke simpang lalu melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang berhenti di kawasan parkir.
“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing telah dijalankan terhadap lelaki itu dan keputusan adalah negatif.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan berbahaya,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 28 saat yang memaparkan beberapa kereta mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang kenderaan seolah-olah dirempuh dengan kuat. – UTUSAN