PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menaikkan siling penggunaan bagi pemandu e-hailing sepenuh masa sekali ganda kepada 600 liter sebulan.
Kementerian Kewangan berkata, pihaknya telah menyemak silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang melibatkan lebih 53,900 individu yang akan menerima kenaikan siling kelayakan tersebut.
“Selain itu, lebih 11,400 lagi pemegang lesen memandu kini layak menerima BUDI95 iaitu pemandu yang baru mendapat lesen (11,200) dan pemandu yang telah memperbaharui lesen (260), menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia menerima manfaat BUDI95,” katanya semalam.
Kenyataan itu juga menyebut, subsidi bersasar Budi Madani RON95 kini diperluaskan kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak.
Katanya, jumlah itu berdasarkan data yang diperoleh daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan.
Sebelum ini, kelayakan BUDI95 diperluaskan kepada pengguna bot di Sabah dan mereka yang berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) minggu lalu.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Kementerian itu bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa. – UTUSAN










