Pelajar Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nur Zawawi Nuzaidi berjaya terpilih sebagai wakil Malaysia ke Asia Pacific Leaders Summit 2025 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Nur Zawawi, pelajar Sarjana Muda Sains Gunaan merupakan salah seorang daripada 35 delegasi terpilih daripada lebih 3,000 permohonan yang diterima dari seluruh Asia.
Lebih membanggakan, beliau turut menerima anugerah Top 40 Asia-Pacific Academic Speak Up Presenter, hasil daripada komitmen dan kecemerlangan beliau dalam bidang akademik serta kepimpinan.
Asia Pacific Leaders Summit 2025 merupakan program kepimpinan serantau yang menghimpunkan pemimpin muda dari seluruh Asia Pasifik untuk menyertai latihan kepimpinan, perbincangan panel dan persidangan pemimpin muda.
Program ini juga menyediakan peluang untuk berinteraksi dengan rakan sebaya daripada lebih 20 negara, menerima anugerah antarabangsa, sijil dan terlibat dalam aktiviti pertukaran budaya.
Kejayaan Nur Zawawi mencerminkan dedikasi dan usaha gigih beliau dalam bidang akademik dan kepimpinan. UTHM berharap pencapaian tersebut menjadi inspirasi kepada pelajar lain berusaha mencapai kecemerlangan dan mengharumkan nama universiti. – UTUSAN