PETALING JAYA: Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, minggu lalu.
Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa telah membunuh seorang pelajar perempuan di tandas pelajar perempuan di sekolah sebuah menengah di Bandar Utama antara pukul 9.30 pagi hingga 10 pagi , 14 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Difahamkan, tertuduh yang juga pelajar di sekolah sama dibawa masuk ke mahkamah melalui laluan khas bagi mengelak perhatian media.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, manakala tertuduh diwakili peguam Anwar Ezzad Zainal.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 November.
Dalam kejadian pada 14 Oktober lalu, mangsa ditemukan meninggal dunia di dalam tandas sekolah dengan kesan tikaman pada bahagian dada dan leher.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dilaporkan berkata hasil laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati punca kematian disebabkan tikaman berulang kali di bahagian dada dan leher.-UTUSAN