PETALING JAYA: Seorang pelajar Kolej Mara Banting (KMB), Uzair Harris Mohd. Rizuan, 20, dinobat sebagai Tokoh Akademik 2025 selepas meraih keputusan sempurna 45 mata dalam program International Baccalaureate (IB) pada majlis graduasi yang berlangsung Ogos lalu.
Uzair mengakui tidak menyangka terpilih menerima anugerah tersebut kerana datang daripada sekolah harian biasa dan bukan pelajar cemerlang semasa zaman persekolahan. Katanya, penghargaan itu membuktikan bahawa usaha konsisten mampu menandingi pelajar terbaik daripada seluruh negara.
“Saya sangat bersyukur kerana dalam kalangan lebih 300 pelajar, saya terpilih menerima anugerah ini. Ia benar-benar menjadi antara pencapaian paling membanggakan dalam hidup saya. Terus terang, saya tidak pernah dianggap sebagai pelajar cemerlang’ sebelum ini, jadi bila diberi penghormatan ini, perasaan itu cukup menakjubkan,” katanya.
Menurutnya, kejayaan tersebut bukan hasil kerja semalaman sebaliknya lahir daripada disiplin, ketekunan dan persekitaran rakan-rakan yang saling menyokong antara satu sama lain. Dia juga menjadikan keluarga, khususnya ibunya, sebagai sumber kekuatan untuk terus berusaha.
“Semester empat merupakan fasa paling kritikal kerana pada waktu inilah kami menduduki peperiksaan IB. Tekanan sememangnya tinggi, namun saya sangat bersyukur mempunyai rakan-rakan yang baik. Apabila belajar dalam kumpulan yang seronok, suasana belajar menjadi lebih ringan dan menyeronokkan,” katanya.
Dalam menghadapi tekanan tersebut, Uzair mengatur strategi belajar yang lebih tersusun termasuk memperuntukkan masa panjang untuk menjawab soalan lepas, bagi mengenal pasti kelemahan dan kekuatan dalam setiap subjek.
“Latihan soalan tahun-tahun lepas sangat membantu kerana kita dapat mengenal pasti bab yang perlu diperbaiki dan bab yang sudah dikuasai. Apabila fokus sebenar sudah jelas, proses pembelajaran menjadi lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Selain belajar secara individu, Uzair juga gemar belajar di pusat sumber bersama rakan-rakan.
Aktiviti riadah seperti bermain badminton pada waktu petang pula menjadi cara untuk mengekalkan fokus dan keseimbangan emosi sepanjang pengajian.
“Ibu saya adalah sumber inspirasi terbesar dalam hidup saya. Saya tidak pernah terfikir mampu meraih skor IB yang sempurna, namun mak sentiasa mengingatkan supaya jangan takut mencuba dan sentiasa yakin dengan diri sendiri. Itulah yang benar-benar mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Uzair turut berpesan kepada pelajar lain agar memahami kemampuan diri dan tidak membandingkan diri dengan orang lain.
“Setiap orang ada rentak belajar masing-masing. Ada yang cepat memahami, ada juga yang memerlukan masa lebih ” katanya. – UTUSAN