PUTRAJAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun bagi kesalahan merogol bekas pembantu rumahnya bermula hari ini selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah turut mengekalkan hukuman sebat dua kali yang dikenakan terhadap lelaki itu sebelum ini.
Pada 27 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu bersalah atas tuduhan merogol dan dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.
Pada 1 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan sabitan bersalah dan dua sebatan terhadapnya namun hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun.
Terdahulu ketika membaca penghakiman ringkas panel itu, Hakim Wan Ahmad Farid antara lain menyatakan, ketiadaan asid deoksiribonukleik (DNA) tidak bermakna pembantu rumah itu tidak dirogol oleh lelaki berkenaan.
Ujarnya, bukti DNA hanyalah bersifat sokongan dan tidak akan menjejaskan kes pendakwaan sekiranya terdapat keterangan yang mencukupi untuk membuktikan unsur-unsur kesalahan rogol melampaui keraguan munasabah.
“Peguam bagi perayu (Choo Kiong) membangkitkan isu bahawa tiada DNA milik perayu ditemui pada mop yang digunakan untuk mengemop cecair mani perayu di dalam bilik tempat kejadian. Keterangan PW15 (mangsa) di mahkamah menyatakan bahawa dia telah mengemop cecair melekit yang terdapat di atas lantai selepas kejadian dengan mop yang telah pun direndam dengan sabun, dan kemudian membasuh mop tersebut.
“Kewujudan atau ketiadaan DNA perayu pada mop itu adalah tertakluk kepada pelbagai faktor yang tidak dapat ditentukan secara konklusif oleh pakar forensik. Walau bagaimanapun, ejakulasi bukan merupakan unsur dalam kesalahan rogol.
“Kami juga berpendapat bahawa ketiadaan DNA perayu pada mop tersebut tidak menjejaskan kredibiliti PW15, berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan,”kata hakim itu.
Selain itu, panel terbabit mendapati Hakim Bicara dan Mahkamah Rayuan telah meneliti tingkah lakunya, bukti sokongan dan keseluruhan keterangan mangsa dan mendapati mangsa adalah saksi yang boleh dipercayai dan percanggahan yang didakwa oleh pembelaan tidak cukup material untuk menjejaskan kredibilitinya.
Keterangan mangsa itu juga disokong oleh pelbagai bukti sokongan termasuk membuat laporan segera selepas berlakunya kejadian, penemuan forensik mengenai koyakan baru pada selaput dara dan keterangan saksi-saksi lain.
Tambah panel terbabit, dakwaan bahawa siasatan oleh pegawai penyiasat dilakukan secara cuai dan tidak lengkap adalah tidak berasas.
“Sebagai kesimpulan, kami mendapati bahawa sabitan terhadap perayu adalah selamat dan dengan ini mengesahkan sabitan tersebut.
“Kami juga berpendapat bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh majoriti Mahkamah Rayuan adalah wajar dan dengan ini mengesahkan hukuman tersebut. Rayuan perayu dengan ini ditolak dan dengan ini, kami mengeluarkan perintah komital terhadap perayu,”ujar Hakim Wan Ahmad Farid.
Mendengar keputusan itu, Choo Kiong yang berada di kandang tertuduh kelihatan sugul. Isteri dan anak-anaknya juga bersedih dengan keputusan berkenaan kemudian memegang tangan Paul Yong sebelum dibawa ke penjara serta-merta.
Choo Kiong didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada 23 Ogos 2019 atas satu pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, ketika kejadian berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumah tertuduh, di daerah tersebut antara jam 8.15 hingga 9.15 malam 7 Julai 2019.
Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Ipoh bermula 5 April 2021 dengan 23 individu termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan. – UTUSAN











