KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dinasihatkan tidak menjadi ‘lebih Hamas daripada Hamas’ dalam mengkritik isu kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang kemuncak ASEAN ke-47 nanti.
Nasihat itu diberikan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin selepas Wan Fayhsal mendesak kerajaan membatalkan undangan kepada Trump.
“Hamas menyambut baik rancangan (20 perkara) yang diberikan oleh Trump. Jadi kenapa kita tak bantu, tak sokong pendirian ini?
“Jangan kita jadi lebih Hamas daripada Hamas, ini apa pasal? Kita bantu, kita sokong, kita ingin mencapai perdamaian di Palestin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Mohamad berkata, Malaysia kekal konsisten dengan pendekatan dasar luarnya yang berteraskan antara lain kepada prinsip keadilan sejagat, penolakan sebarang bentuk kezaliman serta sokongan penuh kepada perjuangan rakyat Palestin.-UTUSAN









