PARLIMEN: Siapa kata saya dan Pagoh bergaduh? -Hamzah - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Siapa kata saya dan Pagoh bergaduh? -Hamzah

HAMZAH Zainudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencuri tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini apabila secara berseloroh menafikan wujudnya sebarang perselisihan antara beliau dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menyentuh isu penilaian semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Hamzah berkata, usaha itu telah dimulakan sewaktu Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri dengan komitmen penuh diberikan kepada menteri tertentu dalam kerajaan ketika itu.

“Apabila Presiden saya, Yang Berhormat Pagoh menjadi Perdana Menteri buat kali pertama, satu kementerian, satu menteri kita berikan untuk menilai semula MA63. Itu telah pun kita lakukan. Kita yang mulakan waktu itu.

“Maknanya kita sudah bermula dari situ. Dan saya percaya, kalau Yang Amat Berhormat Pagoh masih lagi Perdana Menteri, saya yakin masalah MA63 ini sudah selesai.

“Siapa yang kata saya bergaduh dengan Pagoh?,” selorohnya di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Willie Anak Mongin (GPS-Puncak Borneo), adakah PN bersetuju menyerahkan sepenuhnya hak MA63 khasnya kepada sektor pendidikan dan kesihatan sekiranya parti itu memerintah menjadi kerajaan akan datang.

Hamzah kemudiannya secara spontan menghulurkan tangan bersalaman dengan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sambil ketawa kecil, sekali gus mengundang tawa kecil dalam Dewan Rakyat.

Di akhir perbahasan itu juga, persoalan yang sama turut dibangkitkan Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) dengan berkata,’kalau jadi kerajaan siapa jadi calon Perdana Menteri?’, dan perkara itu menimbulkan kemarahan Ketua Pembangkang tersebut.

“Kalau jadi kerajaan, siapa jadi calon Perdana Menteri? Kami di sini sudah tahu siapa calon Perdana Menteri. Kalau Kota Melaka nak tahu, sila masuk PN,” katanya.

Hamzah kemudiannya menjelaskan soalan seperti itu tidak perlu dijawab kerana Ahli parlimen DAP itu tidak pun menyokong PN.

“Kalaupun saya beritahu, dia bukannya nak mengundi kita pun.

“Jadi kau tak payahlah sibuk. Ini kerja kami. Ini saya naik marah ini, janganlah kacau, haru-biru betul Kota Melaka ni,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN