PARLIMEN: Rakyat cenderung beli beras jenama kegemaran berbanding beras putih tempatan - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Rakyat cenderung beli beras jenama kegemaran berbanding beras putih tempatan

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permintaan rakyat Malaysia terhadap beras putih tempatan (BPT) hanyalah kira-kira 75 peratus berbanding sasaran asal Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) iaitu sebanyak 24 juta kampit.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, berdasarkan tinjauan pihaknya, trend itu menunjukkan bahawa rakyat lebih cenderung memilih beras yang ditawarkan pada harga berpatutan dan jenama kegemaran masing-masing berbanding beras putih tempatan.

Katanya, hasil sesi libat urus pihaknya bersama kumpulan pesawah, pengilang dan pemborong, merumuskan bahawa pengguna ketika ini cenderung membeli beras berdasarkan jenama dan citarasa mereka.

“Pilihan tidak dipengaruhi oleh faktor harga RM26 sekampit 10 kilogram berikutan harga runcit beras putih import (BPI) sejak enam bulan lalu tidak lagi terlalu jauh berbeza dengan harga BPT.

“Ini berikutan penyelarasan harga jualan BPI di pintu gudang Bernas daripada RM2,800 kepada RM2,600 per tan metrik yang berkuat kuasa 15 Mei 2025.

“Kesan daripada penyelarasan harga BPI tersebut, KPKM mendapati harga runcit BPI telah turun antara RM1 hingga RM2 bagi setiap kampit 10 kilogram,” katanya dalam jawapan lisan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN – Parit) yang bertanyakan inisiatif KPKM menyemak semula harga kawalan beras putih tempatan selaras dengan kos semasa ditanggung petani dan pesawah.

Mohamad berkata, pihaknya peka dan prihatin terhadap isu pembekalan beras putih tempatan di pasaran yang mula timbul semenjak pertengahan 2023, justeru pelbagai pendekatan intervensi telah dilaksanakan kementerian.

Katanya, ia bertujuan bagi memastikan bekalan makanan ruji itu memenuhi keperluan rakyat walaupun subsektor padi dan beras berdepan dengan pelbagai faktor yang mempengaruhi kos dan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara.

“Program Khas BPT Bersubsidi Tahun 2025 yang bermula pada 1 Mac telah berakhir pada 31 Ogos. Inisiatif selama enam bulan itu merupakan salah satu usaha kerajaan dalam menyasarkan subsidi dengan lebih berkesan, serta merupakan sebahagian daripada program transisi pembekalan beras putih di Malaysia.

“Penamatan program ini adalah bagi memberi ruang kepada kementerian untuk melaksanakan penilaian pasaran serta menyelesaikan pelbagai isu yang telah dikenal pasti sepanjang tempoh pelaksanaannya.

“Hasil daripada penilaian ini akan digunakan bagi memperkemas dasar dan strategi pembekalan beras negara pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN