KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan merujuk Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan tidak tepat berhubung penerimaan pelan damai Gaza oleh Hamas yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, dakwaan Timbalan Menteri Luar bahawa Hamas menerima sepenuhnya pelan damai tersebut adalah tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan terhadap pendirian perjuangan Palestin.
“Saya tidak kisah jika beliau menuduh saya ‘lebih Hamas daripada Hamas’, tetapi yang lebih penting, rakyat Malaysia perlu tahu kenyataan Timbalan Menteri Luar itu tidak tepat,” katanya ketika sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, Hamas hanya bersetuju dengan sembilan daripada 20 perkara dalam pelan itu termasuk pertukaran banduan, pengunduran tentera Zionis dari Gaza dan kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa syarat.
“Namun, isu pentadbiran Gaza dan pembubaran sayap ketenteraan Hamas mereka tolak sepenuhnya.
“Dakwaan Timbalan Menteri Luar bercanggah dengan kenyataan rasmi Hamas yang masih berunding dengan Israel di Mesir,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata, PN akan membuat rujukan rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tindakan sewajarnya terhadap kenyataan yang dianggap menyimpang daripada fakta sebenar itu.
Wan Ahmad Fayhsal turut membidas cadangan kerajaan untuk menjemput Trump ke Malaysia dan menyifatkannya sebagai langkah yang mencemar prinsip moral serta perjuangan kemanusiaan.
“Kita faham soal diplomasi dan geopolitik, tetapi dalam hal ini, kita ada pilihan moral. Jika logik kerajaan untuk menjemput Trump atas alasan ekonomi, maka panggil sahaja Netanyahu ke ASEAN. Ini logik songsang kerajaan Madani.
“PN tetap komited mempertahankan perjuangan pembebasan Palestin dan menolak sebarang bentuk normalisasi hubungan dengan Israel,” katanya.-UTUSAN









