KUALA LUMPUR: Cadangan semakan dan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) yang sedang dijalankan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bukan bertujuan untuk mengubah status institusi itu daripada sebuah institusi simpanan konvensional kepada institusi pelaburan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sejak TH ditubuhkan pada 1963, semua aktiviti simpanan dan pelaburannya telah dijalankan berasaskan prinsip syariah.
“Cadangan semakan dan pindaan yang sedang dibincangkan oleh TH adalah bagi memperkukuh tadbir urus institusi itu untuk menjamin kemampanan kewangan jangka panjang,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH–Pasir Gudang) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bersetuju dengan cadangan meminda Akta Tabung Haji 1995 supaya institusi itu berubah daripada sebuah institusi simpanan konvensional kepada institusi pelaburan Islam.
Mohd. Na’im berkata, beberapa pembaharuan kini sedang diperhalusi dengan mengambil kira ketidakseimbangan risiko antara deposit jangka pendek dan strategi pelaburan jangka panjang.
“Cadangan pembaharuan ini memerlukan TH menyemak semula peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Akta Tabung Haji 1995.
“Cadangan semakan dan pindaan Akta Tabung Haji 1995 juga dibuat dengan mengambil kira syor-syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memperkukuh tadbir urus TH secara keseluruhan,” jelasnya.
Menurut beliau, TH kini sedang meneliti cadangan itu secara terperinci serta melaksanakan proses libat urus bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi memastikan pembaharuan yang dicadangkan menepati keperluan semasa.
“Sebagai agensi yang bernaung di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebarang cadangan dan pengesyoran daripada TH akan dibentangkan kepada Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum keputusan dibuat secara kolektif supaya kepentingan dan kebajikan para pendeposit terus terpelihara.
“TH sentiasa meletakkan kepentingan pendeposit sebagai teras utama dalam operasi pengurusan dan model perniagaannya, selain terus memperkukuh tadbir urus sebagai institusi yang memegang amanah umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji,” katanya. – UTUSAN










