PARLIMEN: Pemantauan satelit antara 11 syor elak insiden Putra Heights berulang

PARLIMEN: Pemantauan satelit antara 11 syor elak insiden Putra Heights berulang

Pencerobohan Putra Heights
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengawasan talian paip gas melalui teknologi pemantauan satelit merupakan antara 11 syor Jawatankuasa Pilihan Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Parlimen bagi mengelakkan insiden letupan gas Putra Height, Subang Jaya berulang kembali.

Pengerusinya, Yusuf Abd. Wahab berkata, syor tersebut dikemukakan hasil rumusan semua laporan sesi libat urus dihadiri pelbagai agensi yang terlibat dalam insiden berkenaan sebelum ini.

Katanya, antara syor dikemukakan termasuk memperkukuh pengawasan talian paip gas melalui teknologi pemantauan satelit, GeoPIG dan sistem pengesan masa nyata di kawasan berisiko tinggi.

“Selain itu, prosedur kelulusan pembangunan berhampiran jajaran paip gas dengan mewajibkan penglibatan pandangan teknikal daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Petronas Gas Berhad (PGB) dan pihak berkuasa berkaitan juga perlu diperketatkan

“Ketiga, prosedur bantuan dan pampasan mangsa insiden infrastruktur kritikal yang jelas, telus dan konsisten, termasuk mekanisme rayuan juga perlu diwujudkan,” katanya dalam sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebanyak 84 rumah di Taman Putra Harmoni yang terjejas akibat letupan paip gas bawah tanah dalam insiden berkenaan.

Dalam pada itu Yusuf berkata, pihaknya juga turut mengesyorkan agar sistem amaran awal termasuk pemasangan siren di kawasan berpendudukan berdekatan infrastruktur kritikal ditambah baik.

Malah katanya, usaha pemetaan geobencana (geohazard mapping) nasional melibatkan semua jajaran paip gas utama juga perlu dipercepatkan.

“Latihan kecemasan berkala bersama komuniti setempat, agensi penyelamat dan pihak industri juga perlu diadakan selain menubuhkan Tabung Bencana Infrastruktur Kritikal yang boleh digunakan segera untuk bantuan awal kepada mangsa.

“Di samping itu, kerajaan juga perlu mengkaji semula rangka perundangan sedia ada bagi memastikan aspek keselamatan infrastruktur kritikal diberi perlindungan perundangan yang lebih kukuh serta menutup sebarang jurang tanggungjawab undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa hadapan, Yusuf berkata, piawaian penyelenggaraan berkala yang lebih ketat untuk semua talian paip gas dan utiliti kritikal, termasuk audit keselamatan bebas secara tahunan.

“Mekanisme penyelarasan tetap antara agensi persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan syarikat utiliti bagi meningkatkan keberkesanan tindak balas serta mengelakkan pertindihan kuasa.

“Kerajaan juga perlu meningkatkan program kesedaran awam dan pendidikan komuniti di kawasan berhampiran infrastruktur kritikal agar penduduk mengetahui tanda-tanda risiko awal serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil.

Dalam perkembangan lain, Yusuf berkata, jawatankuasa itu juga mendapati bahawa siasatan yang dilakukan agensi berkaitan lengkap dan sangat terperinci dengan mengambilkira semua aspek-aspek yang perlu.

Katanya, laporan pelbagai agensi yang melakukan siasatan ke atas insiden ini mendapati punca insiden disebabkan paip gas yang digunakan memenuhi spesifikasi , tetapi gagal akibat muatan kitaran atau cyclic loading ke atas paip tersebut.

“Persekitaran tanah yang tidak stabil dan mendapan tanah merupakan punca utama.

“Agensi yang terlibat juga mendapati perubahan fizikal berlaku pada lapisan bawah permukaan yang hilang daya tampungan disebabkan oleh pengumpulan air setempat,” jelasnya.

Menurut Yusuf lagi, aktiviti antropogenik telah mengubah topografi asal kawasan tersebut selain geseran logam paip telah mencetuskan api dan menyebabkan letupan.

Jelasnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mendapati tiada unsur sabotaj atau kecuaian yang dikenalpasti.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN