PARLIMEN: JPJ dan PDRM selaras kompaun jalan raya bermula 2026

PARLIMEN: JPJ dan PDRM selaras kompaun jalan raya bermula 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk menyeragamkan kadar dan kaedah pelaksanaan kompaun saman jalan raya melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah ini bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang lebih konsisten di seluruh negara. 

“Kaedah lama yang memberikan diskaun berdasarkan program atau kempen khas akan digantikan dengan prinsip ‘the less you delay, the less you pay’ mulai 1 Januari 2026.

“Kita mahu pastikan pendekatan penguatkuasaan lebih adil dan konsisten kerana selama ini, ada kekeliruan dalam kadar dan cara pelaksanaan JPJ dan PDRM. Dengan pelarasan ini, kadar kompaun akan diseragamkan. 

“Pendekatan baharu ini memberi insentif kepada individu yang menjelaskan saman lebih awal dan lebih adil kepada semua pembayar saman,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Siew Fook berkata, struktur kadar pengurangan kompaun baharu ditetapkan dengan melibatkan kadar bayaran iaitu satu hingga 15 hari mendapat diskaun 50 peratus, 16 hingga 30 hari diskaun sebanyak 33 peratus manakala 31 hingga 60 hari dikenakan kadar maksimum sebanyak RM300. 

“Bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, berlumba dan mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) palsu akan dibawa terus ke mahkamah,” katanya. 

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sepanjang tempoh peralihan sebelum sistem baharu dilaksanakan, orang ramai akan diberi diskaun maksimum antara 50 peratus hingga 70 peratus. 

“Dari 1 November hingga 30 Disember 2025, orang ramai boleh menjelaskan saman JPJ dan PDRM yang boleh dikompaun pada kadar pengurangan antara 50 peratus hingga 70 peratus,” katanya. 

Menurut Saifuddin, langkah ini bertujuan memudahkan orang ramai menyesuaikan diri dengan sistem baharu dan memastikan tiada pihak terbeban secara tidak adil. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN