PARLIMEN: Enam negeri berisiko dilanda gempa bumi

PARLIMEN: Enam negeri berisiko dilanda gempa bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Enam negeri iaitu Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak dikenal pasti sebagai kawasan yang berisiko tinggi terhadap ancaman gempa bumi.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, hasil kajian pemetaan sesar aktif oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Peta Seismotektonik Malaysia menunjukkan zon sesar di enam negeri tersebut potensi terdedah kepada bencana alam berkenaan.

“Kemaskini Peta Bahaya Seismik Malaysia terbitan JMG sedang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), universiti tempatan dan agensi teknikal berkaitan.

“Proses ini mengambil kira maklumat terkini termasuk kejadian gempa bumi yang berlaku sebelum ini, kewujudan sesar aktif serta hasil siasatan tanah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) mengenai kajian saintifik MetMalaysia dan JMG bagi mengesan gegaran berulang serta kawasan berisiko.

Beliau berkata, kejadian gempa bumi di Segamat dan Batu Pahat merupakan proses pelarasan semula tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar kuno bagi menstabilkan kerak bumi.

“Fenomena ini dipengaruhi lanjutan zon Sesar Mersing, sistem sesar utama di Johor Timur. Berdasarkan data terkini dan sedia ada, Segamat dan Johor secara amnya masih tergolong dalam zon selamat,” katanya.

Tiong Sii berkata, MetMalaysia dan JMG sentiasa memantau aktiviti gempa bumi bagi memastikan sistem amaran serta tindak balas bencana berfungsi dengan lebih berkesan.

“Bagi tujuan ini, MetMalaysia akan melaksanakan Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Projek ini melibatkan pengukuhan 12 stesen seismik di seluruh negara, pembinaan dua stesen baharu di Segamat dan Muar, Johor serta menaik taraf empat stesen sedia ada di Johor Bahru, Batu Pahat dan Gelang Patah daripada jenis ‘strong to weak motion’ untuk mengesan gegaran bermagnitud lemah,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan kajian kumpulan kerja pakar seismometrik di bawah Jawatankuasa Tindakan Gempa Bumi, tahap maksimum gempa bumi yang boleh dijangka di Segamat dan Batu Pahat adalah berskala sederhana.

“Walaupun gempa bumi di Semenanjung Malaysia umumnya berskala lemah hingga sederhana, risiko tetap wujud terutama di kawasan berhampiran jalur sesar seperti zon Sesar Mersing yang dipengaruhi oleh ciri geologi tempatan.

“Reka bentuk struktur tahan gempa di Malaysia berpandukan ‘Malaysia National Annex to Eurocode 8: Design of Structures for Earthquake Resistance’, yang diterbitkan oleh Jabatan Standard Malaysia, sebagai garis panduan utama dalam mitigasi kejuruteraan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN