PARLIMEN: 7,228 audit keselamatan kenderaan komersial di seluruh negara

PARLIMEN: 7,228 audit keselamatan kenderaan komersial di seluruh negara

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan sebanyak 7,228 audit keselamatan terhadap pengendali kenderaan komersial di seluruh negara setakat 30 September lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, audit berkenaan dijalankan di bawah program JPJ Inspection & Safety Audit (JISA) yang bertujuan menilai tahap pematuhan syarikat terhadap Kod Tata Amalan Industri (ICOP) berkaitan aspek keselamatan dalam sektor pengangkutan.

“Audit keselamatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memastikan pematuhan piawaian keselamatan jalan raya.

“Audit JISA menilai lima komponen utama iaitu pengurusan keselamatan, pengurusan kenderaan, pengurusan pemandu, pengurusan rekod dan pengurusan risiko,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mordi Bimol (PH–Mas Gading) mengenai tindakan menyeluruh JPJ dalam pelaksanaan audit keselamatan terhadap pengusaha kenderaan komersial termasuk perancangan, jadual audit ke atas kira-kira 300,000 syarikat, jumlah yang telah diaudit serta pelan pendigitalan proses audit bagi mempercepat pengesanan ketidakpatuhan dan mengurangkan kerenah birokrasi.

Siew Fook berkata, setiap pengendali kenderaan diwajibkan mematuhi tujuh perkara mandatori di bawah ICOP termasuk pelantikan pegawai keselamatan, pemasangan sistem GPS, pematuhan masa pemanduan dan rehat, penyediaan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) serta penyediaan nombor hotline syarikat bagi tujuan aduan awam.

“Setakat 30 April 2025, sebanyak 48,002 syarikat pengendali kenderaan perdagangan telah berdaftar di bawah JPJ, bukannya 300,000 seperti yang dinyatakan dalam pertanyaan.

“Angka 300,000 itu mungkin timbul akibat kekeliruan antara jumlah syarikat dengan jumlah keseluruhan 372,586 kenderaan perdagangan berlesen (bas dan lori) yang berada di bawah kawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan audit keselamatan JISA merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan berat secara signifikan selaras dengan komitmen memperkukuh keselamatan pengguna jalan raya.
Pada masa sama, JPJ juga sedang melaksanakan pelan pendigitalan audit keselamatan melalui pembangunan sistem digital JISA yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang 2027.

“Melalui sistem baharu ini, modul audit dan pemantauan akan dijalankan secara kendiri dengan mekanisme pengesahan serta kawalan bagi memastikan audit dilaksanakan secara telus, cekap dan berintegriti.

“Sistem ini juga akan mengintegrasikan data daripada peranti GPS terus ke dalam pangkalan data JISA bagi membolehkan pengesanan ketidakpatuhan secara masa nyata termasuk kes pemanduan melebihi had kelajuan, penyimpangan laluan dan operasi di luar waktu dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata, usaha pendigitalan itu dijangka mempercepat pengesanan ketidakpatuhan, meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan mengurangkan kerenah birokrasi.

“Langkah ini juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk mempercepat transformasi digital dalam sektor pengangkutan negara,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN