PETALING JAYA: Danwan Corporation Sdn. Bhd. (Danwan) mendakwa tidak pernah mengoperasikan papan iklan haram seperti mana yang didakwa oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam satu operasi merobohkan papan iklan haram di Lebuh Raya Persekutuan pada 6 September 2025.
Sehubungan itu, Danwan menafikan gambar papan iklan miliknya di Kilometer 32.9 Lebuhraya Persekutuan yang disiarkan bersama laporan Utusan Malaysia adalah papan iklan haram.
Sebaliknya Danwan dalam satu kenyataan memberitahu, ia adalah papan iklan yang sah dan lokasi pemasangan bukan di bawah bidang kuasa atau seliaan MBPJ sebaliknya di bawah Kementerian Kerja Raya.
Sehubungan itu, Danwan telah membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana Hakim Amarjeet Singh telah membenarkan Danwan untuk memfailkan Semakan Kehakiman bagi membatalkan keputusan yang dibuat oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya melalui Notis Arahan Penurunan Iklan Tanpa Lesen Di bawak UUK 7 Undang-undang Kecil Iklan (MBPJ) 2007.
Mahkamah juga memberi perintah penggantungan penguatkuasaan dan kesan keputusan MBPJ sehingga keputusan penuh dan muktamad kes tersebut.
Utusan Malaysia telah menghubungi MBPJ bagi mendapatkan respon mengenai perintah mahkamah ini, tetapi pegawai berkenaan enggan memberi respon. – UTUSAN