Pantau kesihatan, buat saringan awal influenza ketika cuti sekolah - JPNPP

Pantau kesihatan, buat saringan awal influenza ketika cuti sekolah – JPNPP

MOHAMAD DZIAUDDIN MAT SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) menasihatkan ibu bapa untuk menggunakan sepenuhnya cuti sekolah sempena perayaan Deepavali ini untuk memantau tahap kesihatan anak mereka.

Pengarahnya, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, dalam hal ini, ibu bapa juga digalakkan untuk membuat saringan awal jika anak-anak mereka didapati mempunyai simptom influenza sebelum sekolah dibuka semula, Khamis depan.

Beliau berkata, selain itu, penggunaan pelitup muka amat digalakkan terutamanya dalam kalangan pelajar-pelajar ini ketika berada di tempat yang terbuka.

“Kita (JPNPP) ada hantar panduan kepada pihak sekolah (berkaitan pencegahan influenza) dan malam ini kita akan ada satu sesi SLU iaitu sesi libat urus bersama dengan pengetua dan guru besar untuk persediaan kerana sekolah akan mula bercuti.

“Jadi, kita dah minta mereka untuk buat persediaan sebelum cuti dan apabila datang semula ke sekolah itu, beberapa langkah pencegahan tersebut boleh diambil bagi menangani penularan influenza ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Sanjungan Budi Anta Permana sempena persaraan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, Zaharah Abdullah di sekolah berkenaan, hari ini.

Mohamad Dziauddin turut menasihatkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya agar menjaga kesihatan mereka memandangkan peperiksaan tersebut akan berlangsung tidak lama lagi.

“Kita kena beringat untuk mengelakkan jangkitan yang mungkin boleh menjejaskan persediaan kita ke sekolah. Lebih-lebih lagi anak-anak calon SPM ini yang tak sampai sebulan. Jadi, kita nak anak-anak kita ini bersedia secukupnya dalam SPM nanti, insya-Allah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat ini, belum ada sekolah di Pulau Pinang yang terlibat dengan pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) susulan penularan jangkitan influenza.

“Kita hanya membenarkan pelajar yang ada simptom sahaja untuk balik ke rumah masing-masing dan menjalani kuarantin di rumah sebelum ini,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN