HULU SELANGOR: Seorang lelaki yang juga pakar motivasi perniagaan ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana memalsukan nombor pendaftaran bahagian depan dan belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner.
Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, lelaki berusia 50 tahun yang juga pemilik kenderaan itu ditahan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan berdekatan Behrang pada pukul 9.30 malam pada Sabtu minggu lalu.
“Kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran ‘PRF’ iaitu yang asli di bahagian depan manakala nombor pendaftaran ‘RF’ yang palsu, dipamerkan di bahagian belakang. Siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran ‘RF’ wujud dan dimiliki oleh individu lain yang menetap di Perlis.
“Hasil semakan pengkalan data JPJ mendapati kenderaan ini mempunyai 42 saman lampau berjumlah RM12,600 atas kesalahan berkaitan kamera Automated Awareness Safety System (AwAS),” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguatkuasaan JPJ Kalumpang, di sini hari ini.
Katanya, aduan telah dibuat oleh pemilik plat nombor pendaftaran ‘RF’ yang menerima notis-notis saman yang warna dan jenis kenderaan ialah sama.
“Saman AwAS yang dikenakan terhadap pemilik asal nombor pendaftaran ‘RF’ akan dipindahkan kepada pemilik kenderaan dengan nombor pendaftaran ‘PRF’ yang telah melakukan kesalahan tersebut,” katanya. – UTUSAN