MARANG: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memilih Kampung Padang Tanjung, Bukit Payung, di sini sebagai lokasi pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat MADANI JPN yang dibangunkan dengan pelbagai kemudahan asas melalui projek fizikal serta aktiviti bersama komuniti.
Melalui peruntukan sebanyak RM1 juta yang diterima daripada Kementerian Kewangan, matlamat pelaksanaan Kampung Angkat MADANI JPN adalah untuk menyediakan kemudahan yang dapat dimanfaatkan penduduk kampung.
Pelbagai projek telah dirangka bagi kerja-kerja pembangunan dan naik taraf termasuk penyelengaraan rumah pengurusan jenazah dan parkir kenderaan jenazah di Masjid Kampung Padang Tanjung, selenggara rumah asnaf serta pemasangan empat unit lampu limpah di gelanggang takraw.
Selain itu, naik taraf dewan makan masjid, jalan dan kerja- kerja berkaitan di kawasan perkuburan serta penyerahan sebuah van jenazah dan kesemua projek tersebut dijangka disiapkan sebelum akhir tahun ini.
Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI JPN disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Masjid Kampung Padang Tanjung hari ini dengan diiringi Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias.
Saifuddin sewaktu menyampaikan ucapannya berkata, inisiatif Kampung Angkat MADANI diperkenal kerajaan sebagai salah satu pendekatan serta bukti keprihatinan bagi menyantuni rakyat tanpa mengira lokasi termasuk di kawasan pedalaman atau luar bandar.
“Kampung Angkat MADANI yang diperkenal di bawah Belanjawan 2024 tterbukti memberi banyak manfaat kepada rakyat dan berdasarkan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu Belanjawan 2026 semalam, program ini diteruskan lagi tahun hadapan dengan lebih banyak kampung.
“Intipati-intipati belanjawan dibentangkan membuktikan kestabilan ekonomi negara serta kedudukan kewangan yang baik sekali gus dapat diberikan semula kepada rakyat. Jadi bayangkan kalau lima tahun pemerintahan kekal, stabil ekonomi, rakyat hidup dengan aman damai dan penuh rukun tertib, maka lebih lagilah masyarakat akan mendapat manfaat daripada kebaikan yang dapat kita turunkan,” ujarnya. – UTUSAN










