P.Pinang: Influenza kekal terkawal, tak wajib pakai pelitup muka

P.Pinang: Influenza kekal terkawal, tak wajib pakai pelitup muka

DANIEL GOOI ZI SEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Belum ada sebarang keperluan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada langkah mencegah penularan jangkitan influenza di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, hal ini demikian kerana, tahap penularan jangkitan tersebut di negeri ini masih kekal terkawal buat masa ini.

“Ya (tak wajib pakai pelitup muka). Tapi, pemakaian pelitup muka itu senantiasa digalakkan khasnya bagi mereka yang kurang sihat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan analisis terkini, tren aktiviti Survelan Influenza Like Illness (ILI) berasaskan klinikal dari Minggu Epid (ME) 32 hingga ME 37 tahun 2025 menunjukkan kadar antara 9.5 hingga 10.5 peratus dan tidak mencatatkan peningkatan ketara.

“Survelan ILI berasaskan makmal pula mencatat sedikit peningkatan kadar positif iaitu antara 26.7 hingga 28.9 peratus dengan Influenza A sebagai strain dominan.

“Namun begitu, kadar positif ini masih lebih rendah berbanding tempoh sama pada tahun 2024 iaitu antara 35.6 hingga 51.1 peratus,” katanya yang memberitahu, jumlah kluster jangkitan saluran pernafasan yang dilaporkan tahun ini juga lebih rendah sebanyak 52.4 peratus berbanding tahun lalu.

Jelas beliau, walaupun keadaan terkawal, pola peningkatan kes menjelang hujung tahun kekal konsisten seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai untuk terus berwaspada dan mengamalkan langkah pencegahan bagi melindungi diri serta keluarga, khususnya apabila berada di kawasan tertutup dan sesak,” ujar Daniel.

Tambahnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) juga akan terus memantau perkembangan jangkitan saluran pernafasan di dalam dan luar negara serta meningkatkan kesiapsiagaan dari semasa ke semasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN