Kerjasama strategik antara Open University Malaysia (OUM) dan Institut Integrasi Darul Makmur (IIDM) sebagai perintis dan bakal menjadi model rujukan kepada negeri-negeri lain dalam memperkasa pendidikan pondok, tahfiz dan madrasah.
Presiden merangkap Naib Canselor OUM, Prof. Dr. Ahmad Izanee Awang berkata demikian ketika ditemui Utusan Pelajar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Kuantan, baru-baru ini.
Menurutnya, kerjasama itu mengangkat usaha mengarusperdanakan institusi pendidikan Islam agar kekal relevan dengan cabaran semasa dan diiktiraf secara formal.
Beliau berkata, rangka usaha tersebut memberi fokus kepada empat komponen utama iaitu pemerkasaan guru, kurikulum standard, laluan akademik pelajar dan peningkatan tadbir urus.
Katanya, guru dan tenaga pengajar tanpa kelayakan formal tetapi berpengalaman boleh menyambung pengajian melalui mekanisme APEL untuk pengiktirafan akademik.
OUM turut menyediakan latihan profesional dalam bidang pedagogi, kepimpinan, kemahiran digital dan kecerdasan buatan untuk melengkapkan guru abad ke-21.
Dari sudut kurikulum, OUM membantu IIDM membangunkan standard Pengajian Turath Islam yang boleh diangkat untuk pengiktirafan MQA.
Pensijilan Kitab Turath seperti al-Syamail al-Muhammadiyah dan Bidayah al-Hidayah akan ditawarkan melalui platform digital CellPLUS.
Bagi pelajar, laluan akademik fleksibel daripada diploma hingga doktor falsafah dalam bidang Pengajian Islam disediakan bagi membuka masa depan kerjaya yang lebih luas.
Ahmad Izanee berkata, MoU tersebut bukan sahaja mengukuhkan ekosistem pendidikan Islam di Pahang malah diyakini akan dijadikan model oleh negeri lain. Menurutnya, pengalaman lebih 25 tahun OUM dalam pendidikan digital memberi jaminan dari segi teknologi, sistem sokongan dan mutu akademik. – UTUSAN










