Nyaris dihempap pokok tumbang semasa ribut

Nyaris dihempap pokok tumbang semasa ribut

MOHD. Saufi Ibrahim (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Zeton Ahmad di Sungai Megat Aris Bagan Tiang di Parit Buntar semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: ‘Mujur semasa kejadian tiada siapa berada dalam bilik, jika tidak, entah apa yang akan berlaku’.

Demikian kata Zeton Ahmad, 74, seorang daripada mangsa ribut di Kampung Sungai Megat Aris di sini apabila rumahnya dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut semalam..

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.50 pagi apabila ribut membadai kampung tersebut yang menyebabkan beberapa buah rumah lain turut rosak.

“Ini pertama kali ribut berlaku sejak saya tinggal di sini. Dalam kejadian pagi semalam, angin terlalu kuat, bunyi deruan angin menakutkan.

“Saya rasa sangat cemas dan tiba-tiba terdengar bunyi yang sangat kuat, saya terkejut apabila melihat pokok di belakang rumah tumbang dan terkena bumbung bilik tidur.

“Nasib baik pada masa itu tidak ada sesiapa dalam bilik, jika tidak mungkin akan ada yang mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui semalam.

RIbut semalam menyebabkan tiga buah rumah di Daerah Kerian rosak, membabitkan kawasan Kuala Kurau dan Bagan Tiang.

Seorang lagi mangsa ribut, Sager Husni, 66, di Kampung Kedai Dua berkata, ini merupakan kejadian pertama sepanjang lebih 30 tahun dia tinggal di kawasan tersebut.

Katanya, angin kuat datang dari arah belakang rumah disertai bunyi menggerunkan sebelum menerjah bahagian dapur dan melipat sebahagian bumbung kediamannya.

“Angin datang tiba-tiba, bunyi kuat menderu dari arah belakang rumah lalu melipat bumbung dapur. Masa tu semua sudah bangun, hampir waktu azan Subuh,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Zon Utara, Mohd. Saufi Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada Penghulu Mukim Kuala Kurau dan segera menziarahi mangsa yang terjejas.

Menurut beliau, proses baik pulih bumbung serta kerangka rumah akan dilakukan dalam tempoh masa yang terdekat selepas penilaian kelayakan dibuat, dengan anggaran kerugian antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN