Isu buli masih hangat diperkatakan dalam masyarakat kita sekarang.
Apatah lagi kematian Zara Qairina Mahathir, Wan Ahmad Faris dan Zulfarhan Osman dikaitkan dengan perbuatan buli.
Kerajaan telah menggubal Akta Anti Buli 2025 yang dikuatkuasakan mulai 11 Julai, sebagai langkah membanteras gejala buli di pelbagai institusi pendidikan malah dalam sektor pekerjaan.
Buli fizikal dan siber kini boleh dijatuhi hukum penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan. Kerajaan amat memandang serius akan isu ini.
Komunikasi mengancam, menggunakan media sosial untuk memalukan seseorang, menimbulkan ketakutan dan gangguan emosi malah menyebarkan maklumat peribadi tanpa izin adalah menjadi kesalahan.
Kita menyokong penuh penggubalan akta itu dan mahu semua pihak memberi kerjasama ke arah suasana kehidupan masyarakat yang sihat, matang dan beretika, sesuai dengan slogan masyarakat madani.
Cuma realitinya masyarakat perlu berani ke hadapan. Jangan sembunyikan kes buli atau ada unsur menjaga imej dan nama baik pihak-pihak tertentu.
Sikap sesetengah pihak pada masa lalu yang enggan melaporkan kes buli, bersikap tidak mahu jaga tepi kain orang malah diarahkan supaya tutup mulut, menyebabkan kes buli kian berkembang.
Sejajar dengan adanya Akta Anti Buli, beberapa langkah susulan perlu dibuat.
Sebagai contoh, perlu dilantik warden sepenuh masa di institusi pendidikan, supaya mereka dapat memberi fokus kepada tugas.
Pihak atasan dalam pelbagai institusi pendidikan dan sektor pekerjaan juga perlu menghayati akta baru yang lebih kemasmkini dan menyeluruh ini.
Pemahaman mereka perlu diterjemahkan ke arah pelaksanaan yang efektif.
Jika ditinjau di sekolah-sekolah, ramai guru yang enggan menjadi warden kerana tidak sanggup menanggung pelbagai tanggungjawab tambahan selain tugas hakiki dan juga tanggungjawab kepada keluarga.
Natijahnya, ada guru yang menjadi warden itu berkhidmat separuh hati dan tidak fokus kepada tugas yang diberi. Maka semakin bersemangatlah pelajar tertentu membuli pelajar lain.
Seperti yang dinyatakan oleh Bahagian Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, banyak pihak, baik institusi pendidikan, sektor pekerjaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam perlu lebih peka dalam menangani pelbagai isu buli.
Kita tidak mahu undang-undang yang wujud ini hanya menjadi perhiasan dan teori semata-mata. Aspek pelaksanaan dengan penuh integriti dan tuntas perlu difahami dan ditekankan.
Menjadi harapan kita permasalahan buli ini dapat dinoktahkan selepas ini. – UTUSAN
Mustaffa Siraj, Bekas Guru (1988-2018)