TEMERLOH: Asisten Komisioner Mazlan Hassan secara rasmi menyerahkan tugasnya sebagai Ketua Polis Daerah Temerloh kepada penggantinya, Pemangku Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron dalam satu majlis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, di sini hari ini.
Majlis berkenaan disaksikan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman yang turut menyempurnakan penyerahan jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Temerloh daripada Siti Noor Asyiah Abu Khanipah kepada Rohana Rosley.
Mazlan yang akan memulakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan awal Oktober ini dalam ucapan ringkasnya merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota IPD Temerloh atas sokongan sepanjang beliau menerajui daerah itu.
Berkhidmat dalam kontinjen Pahang selama sembilan tahun, beliau pernah mengetuai IPD Maran dan Jerantut sebelum memimpin Temerloh sejak lebih dua tahun lalu.
Sementara itu, Yahaya berkata, pelantikan Mohd. Nasyim bukan sesuatu yang asing bagi warga IPD Temerloh kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di daerah itu pada 2014.
“Dengan pengalaman luas dalam kontinjen Pahang, saya yakin beliau dapat meneruskan kecemerlangan kepimpinan IPD Temerloh. Saya berharap kerjasama erat antara pihak media, masyarakat dan polis akan berterusan,” katanya. – UTUSAN