Nahari pembimbing lahirkan jagoan

Nahari pembimbing lahirkan jagoan

Nahari Matono Arukin (tengah ) bergambar salah seorang pelajar selepas program bimbingan pertandingan di Hulu Langat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Namanya kedengaran klasik hasil perkahwinan campuran daripada ibu bapanya Melayu dan Indonesia. Pemilik nama lengkap Nahari Mastono Arukin, 58 tahun telah bergelumang dalam dunia pendidikan lebih tiga dekad yang lalu.

“Menjadi guru merupakan harapan dan impian emak untuk saya sedari kecil. “Maka, saya meletakkan hasrat mahu menjadi guru untuk memenuhi impian emak,” katanya.

Pernah berkelana menabur bakti untuk anak didiknya di beberapa buah sekolah di sekitar Negeri Sembilan Pahangdan Selangor. Di sekolah rendah beliau mengajar matapelajaran Matematik dan Bahasa Melayu tetapi ketika di sekolah menengah, dia berubah angin mengajar Sejarah.

Anak jati Hulu Langat, Selangor ini yang lebih dikenali sebagai Cikgu Nahari memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pendidikan Kesusasteraan Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana dalam Kesusasteraan Melayu dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Maka tidak hairanlah Nahari memiliki kecenderungan meminati seni kesusasteraan melayu.

Selain guru, Nahari juga bertindak sebagai pembimbing dan jurulatih pelajar.

” Debat, pidato, syarahan, forum, lakonan, deklamasi puisi, sajak, bercerita dan pengacaraan majlis antara yang saya bimbing untuk menyertai pelbagai pertandingan daripada peringkat sekolah, kawasan , daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa “, katanya

Menariknya, Nahari lebih cenderung memilih peserta yang memiliki kualiti suara dahulu. Hal ini kerana suara itu anugerah Ilahi, kebolehan penyampaian dan persembahan boleh dibentuk .

” Saya selalu dapat peserta yang zero ( kosong ) . Namun, cabaran menjadikan zero kepada hero sesuatu yang amat saya gemari. Suatu cabaran kendiri buat saya. Apabila mereka muncul juara, kepuasan sebagai jurulatih lebih bermakna dan terasa berharga “, kongsinya.

Nahari tidak menafikan berhadapan cabaran paling utama melatih pelajar di sekolah ialah hambatan atau kekangan masa. Tugas hakiki mengajar perlu diutamakan. Maka, sebagai jurulatih dia perlu bijak ‘mencuri’ waktu senggang yang ada.

” Saya selalu pilih waktu rehat pelajar 20 minit untuk wajib berlatih setiap hari. Pelajar terlibat mandatori tidak boleh turun ke kantin. Namun, saya berpesan untuk membawa sarapan ringkas seperti roti atau biskut sebagai alas perut “.

” Cabaran dari sudut pelajar ialah membangun keyakinan dalam diri mereka. Mengusir rasa takut dan gugup antara rintangan perlu dilolosi sebelum bertanding. Justeru, saya perlu melatih mereka persiapan mental dan fizikal agar kekal bersemangat. Ini termasuk menyediakan teks yang kuat dan menarik juga satu cabaran besar buat jurulatih “, katanya.

Menurutnya lagi, seseorang pelajar yang mahu menyertai sesuatu pertandingan perlu membuat beberapa persediaan rapi.

” Pertama sekali ialah bersedia dari segi mental dan fizikal.

⁠Kesihatan perlu dijaga termasuk suara dan kondisi tubuh. Demam atau hilang suara boleh merencatkan persembahan.

” ⁠Sokongan rakan, guru, ibu bapa, dan pentadbir sekolah sangat diperlukan. ⁠Pelajar perlu bersedia dari semua aspek. Teks yang telah difahami dan dihafal, gaya dan penghayatan yang maksimum, pakaian yang sesuai, kondisi cukup sihat dan bertenaga”.

Antara kenangan manis yang tidak boleh dilupakan apabila dia pernah melatih seorang peserta pidato Bahasa Melayu antarabangsa dari negara China menerusi sidang video. Peserta tersebut muncul johan di negaranya.

Kalah dan menang adalah adat pertandingan. Justeru, menikmati erti kalah dan menang itu biasa bagi Nahari. ⁠Kedua-duanya mendidik rasa bersyukur dan bahagia yang tidak dapat diganti dengan material.

Nahari tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman untuk melatih murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan murid pra sekolah. Ketiga-tiganya ada cabaran berbeza.

Tiada yang lebih indah selain menyaksikan keempat-empat anak, Emir Din, Nur Qistina Din, Ikmal Din, dan Nur Afiqah Din berada di pentas pertandingan pengucapan awam.

Sesekali berkongsi pentas berpuisi bersama-sama mereka menjadi pengalaman yang cukup bermakna.

Nahari juga diberi kepercayaan dan pilihan penganjur untuk menggalas tanggungjawab menjadi juri sama ada pertandingan di peringkat sekolah, antarabangsa termasuk awam.

Sebagai seorang juri, Nahari mempunyai beberapa kriteria tertentu dalam menentukan pemenang.

” Saya lebih mengikuti penghakiman rasmi atau permarkahan yang diberikan pihak penganjur. Namun, saya lebih tertarik melihat semangat dan persembahan bertenaga daripada peserta yang sampai ke hati turut menjadi elemen kemenangan “, kongsinya.

Nahari bertuah kerana suaminya Baharudin Pardi , 60 tahun juga seorang guru saling melengkapi dan menyokong kerjaya satu sama lain. Wanita kekal awet muda ini tidak betah berdiam diri tanpa melakukan sebarang aktiviti bermanfaat.

” Melancong, berkebun dan menulis bagi saya merupakan cara untuk melepaskan tekanan atau healing sebagai terapi diri. Bagi saya seseorang itu perlu ada masa untuk diri sendiri”, ungkapnya

Nahari aktif menulis di medan sosial muka buku atau Facebook atau sebagai ghostwritter ( penulis upahan ) menerusi Nota Sekolah Kehidupan untuk berkongsi pelajaran demi pelajaran yang dilaluinya dalam kehidupan yang boleh dijadikan teladan buat pembaca mahupun pengikutnya

” Bagi saya setiap perjalanan hidup ialah pelajaran yang membawa ibrah buat kita. Sesusah dan sepayah mana kehidupan, jika kita bersyukur maka kebaikan yang menanti buat kita “,

” Sebagai hamba Allah, kita perlu sentiasa membesarkan kehidupan dengan kesyukuran untuk menjemput ketenangan dan rasa kecukupan. Apatah lagi memperkukuhkan persiapan kembali menemui-NYA dalam bekalan iman dan taqwa “, katanya penuh hikmah.

Biar pun telah menoktahkan kerjaya perguruan, ilmu dan pengalaman luas Nahari tetap ditagih ramai pihak. Nahari masih lagi meneruskan minat sebagai pembimbing acara dan juri bagi mengisi masa persaraannya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN